Sentiasa bersedia adalah pegangan pemain berdarah campuran Malaysia-Jamaica, Kobe Chong, yang sedang mengintai peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Selain menawarkan diri untuk membantu skuad B-23 di pentas Sukan SEA, Kobe juga tidak keberatan untuk menimba pengalaman dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Dalam satu temubual eksklusif bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini, pemain kelahiran Birmingham, England itu berkata dia sentiasa bersedia sekiranya dipanggil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewakili skuad kebangsaan.

"Saya akan terus bekerja keras dengan latihan saya di England.

"Saya sentiasa meningkat dan apa yang saya mahu adalah melakukannya untuk menyertai skuad remaja Malaysia.

"Saya mahu membuktikan apa yang saya mampu lakukan dengan peralihan itu.

"Saya tahu ia memerlukan masa dan saya perlu membuktikan kemampuan saya.

"Kerana saya mungkin kelihatan bagus di dalam video tetapi pada akhirnya, ia tentang apa yang anda dapat lakukan secara konsisten," katanya.

Pengalaman beraksi bersama kelab di Eropah seperti West Bromwich Albion dan Cagliari juga tidak menghalang Kobe untuk mengenali beberapa pasukan tempatan seperti Pahang dan Perak.

"Saya sudah melihat beberapa pemain Malaysia seperti Luqman (Hakim Shamsudin) dan (Mohamadou) Sumareh.

"Saya juga mengenali beberapa pasukan seperti Perak dan Pahang.

"Tetapi fokus utama saya pada ketika ini adalah (untuk menyertai) pasukan kebangsaan (Malaysia)," tambahnya.