Bekas penyerang sensasi Jerman, Miroslav Klose, berharap dapat menimba ilmu berharga daripada Joachim Low ekoran menyertai barisan kejurulatihan Die Mannschaft susulan persaraanya awal bulan ini.

Klose mengumumkan persaraan daripada pentas bola sepak ekoran kontraknya bersama Lazio berakhir pada Jun.

Pemain berusia 38 tahun itu telah membuat 137 penampilan bersama Jerman di samping memegang rekod selaku penjaring terbanyak dengan 71 gol.

Kini menyelami dunia baharu selaku jurulatih, Klose akan meraih pengalaman pertamanya bersama Low apabila Jerman bertandang ke San Marino pada Jumaat.

"Saya sangat gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini," Klose bercakap dalam sidang media.

"Saya mengambil masa agak lama sebelum membuat keputusan ini. Sebagai pemain, saya sering tertarik dengan taktikal jurulatih dan bagaimana saya mampu memperbaiki permainan, namun kini saya memutuskan untuk mendapatkan pandangan dari sudut selaku jurulatih.

"Saya telah diterima dengan baik sekali. Ini satu penghargaan buat saya."

Sementara itu, Low percaya pengalaman dimiliki Klose membawa dimensi baharu terhadap pasukannya.

"Kami gembira dengan kehadiran Klose. Dia bukan sahaja contoh terbaik buat pemain muda, bahkan mampu membantu pemain penyerang menjadi lebih mantap.

"Kami akan menggunakan khidmatnya dalam proses itu."