Jurgen Klopp sedar Liverpool berdepan lawan sukar dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selepas diundi menentang Atletico Madrid tetapi dia yakin Diego Simeone tidak gembira untuk menghadapi cabaran juara bertahan itu.

Liverpool muncul juara Kumpulan E mengatasi pasukan tangga kedua, Napoli, dan usaha mereka untuk mempertahankan trofi Liga Juara-Juara menyaksikan mereka kembali ke gelanggang final musim lalu, Wanda Metropolitano, untuk menentang gergasi LaLiga, Atletico.

Klopp mendedahkan dia sudah menjangka kepulangan ke Madrid tatkala pusingan 16 kali ini hanya menampilkan barisan kelab daripada lima liga terbaik Eropah.

"Ia undian yang menarik," katanya.

"Sebelum undian, sebenarnya saya fikirkan salah satu kelab Madrid dan ia begitu.

"Madrid adalah tempat di mana kami hanya memiliki memori hebat dan ia mengujakan tetapi kali ini, kami menentang Atletico di gelanggang mereka.

"Ia satu cabaran getir tetapi jika anda melihat kesemua undian, terdapat banyak aksi yang berpotensi menjadi perlawanan final dalam pusingan 16.

"Jadi, ia bagus. Undian yang baik, aksi sukar seperti sepatutnya tetapi saya tidak fikir pengendali Atletico, Simeone, berlari di ruang tamu dan gembira apabila diundi menentang Liverpool.

"Ia akan jadi aksi sukar. Dua pasukan yang sentiasa menampilkan bola sepak pantas. Berbeza corak dan organisasi tetapi kedua-duanya bersedia untuk kepantasan dan ia menjadikannya sukar."

Mengenai undian lain yang menyaksikan seteru Liga Perdana Inggeris, Manchester City, bakal bertemu juara 13 kali, Real Madrid, Klopp menambah: "Rasanya saya telah katakan sebelum ini bahawa ia mungkin cabaran pusingan 16 yang paling getir, atau suku akhir, tetapi ia menjadi lebih mencabar setiap tahun."