Jurgen Klopp menjelaskan prestasi hambar Liverpool baru-baru ini berkait dengan isu di bahagian benteng selepas terkandas dalam Piala FA di gelanggang Chelsea, awal pagi tadi.

The Reds tunduk 0-2 di Stamford Bridge ekoran kesilapan daripada Adrian -- memainkan watak utama di depan gawang bagi menggantikan Alisson -- apabila membolehkan Willian membuka tirai jaringan sebelum Ross Barkley menambah gol kedua selepas rehat.

Liverpool juga tewas 0-3 di Watford pada Sabtu lalu, kekalahan pertama mereka dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selain dibolosi dua atau lebih gol dalam tiga perlawanan berturut-turut buat julung kalinya sejak 2016.

Joe Gomez yang kembali membarisi skuad utama di samping Virgil van Dijk gagal mengukuhkan pertahanan pelawat, namun Klopp tidak terlalu gusar hanya menang sekali dalam empat perlawanan.

"Begini, sejak sekian lama kami bertahan dengan cemerlang mengikut acuan kami," katanya.

"Kebiasaannya pihak lawan tidak akan mendapat banyak peluang ketika tetapi kini kami harus mengakui bahawa dalam tiga perlawanan terakhir -- mungkin empat -- kami telah melepaskan banyak gol, itu benar.

"Saya tidak bimbang dengan momentum -- ia bukanlah sesuatu yang akan kami terima sebagai hadiah, kami perlu berjuang untuknya. Kami sentiasa berpeluang untuk mendapatkannya kembali.

"Saya tidak khuatir dengan momentum tetapi inilah bola sepak dan kami tidak pernah fikir ia akan menjadi musim yang mudah, tempoh yang mudah termasuk perlawanan malam ini. Jelas ia akan menjadi sukar -- jelas sekali ia sentiasa sukar.

"Kami melakukannya dengan baik, tapi malam ini tidak cukup baik dalam masa-masa yang tertentu dan itulah yang perlu kami akur."


Kepa Arrizabalaga menyelamatkan tiga percubaan berbahaya untuk menafikan penyudah Sadio Mane, Divock Origi dan Curtis Jones secara berturut-turut ketika Chelsea mendahului 1-0, namun Liverpool gagal menjana sebarang percubaan tepat dalam babak kedua.

Begitupun, Klopp gembira dengan persembahan anak buahnya terutama setelah rombakan yang diketengahkannya dengan membuat tujuh perubahan dalam barisan permulaan.

"Persembahan malam ini sama sekali adalah berbeza berbanding di Watford," kata pengurus Jerman itu.

"Ketika menentang Watford, kami bermain dengan sangat buruk, malam ini tidaklah begitu.

"Ia adalah satu perlawanan yang sangat hebat. Kami membuat tujuh perubahan dan kami tahu ia akan menjadi sengit dan itulah sebabnya kami melakukan perubahan kerana jelas sekali perlawanan ini banyak melibatkan larian deras, ruang di bahagian tengah.

"Mengenai cara kami dan Chelsea beraksi, ia sentiasa melibatkan kekerapan larian pantas. Mereka melakukannya secara berterusan dan itulah sebabnya kami perlu membuat perubahan atau kami fikir perlu membuatkan mereka berlari.

"Saya tidak gusar dengan prestasi malam ini, saya tidak peduli tentang itu. Inilah bola sepak, jika anda membuat kesilapan penting maka anda akan tewas."