Klopp tidak risau tekanan julang trofi sulung Piala Dunia Kelab

Oleh Staff Writer 12 November 2019 832
Klopp tidak risau tekanan julang trofi sulung Piala Dunia Kelab
Jurgen Klopp tidak tertekan untuk mengemudi Liverpool menjulang trofi Piala Dunia Kelab buat kali pertama tetapi gembira dengan peluang yang dimiliki.

Juara Eropah itu muncul pilihan untuk mengungguli saingan yang dijadualkan di Doha bulan depan.

Liverpool tidak pernah memenangi Piala Dunia Kelab selepas bergelar naib juara edisi 2005 tetapi untuk mengemudi gergasi Liga Perdana Inggeris itu meraih kejayaan buat julung kali dalam kejohanan itu bukan menjadi fokus utama Klopp.

"Saya tidak memikirkannya. Saya tidak perlu menjadi orang pertama sampai ke bulan atau yang pertama menjulang Piala Dunia Kelab tetapi apabila peluang tiba, kami akan cuba," katanya.

"Apa yang membuatkan ia menarik dan sukar adalah kami akan berdepan pasukan dari benua lain, sesuatu yang tidak berlaku secara kerap. Mungkin pasukan dari Mexico atau Brazil dan ia pasti sukar.

"Kami akan bersedia seperti biasa dan melihat jika betul atau salah untuk berdepan pasukan dari benua lain.

"Kami masih belum memiliki banyak maklumat tetapi akan meraihnya kemudian dan ia pasti mencabar serta menarik."

Liverpool akan berdepan Monterrey, Al-Sadd atau Hieghene Sport dalam aksi separuh akhir pada 18 Disember ini.

Klopp berkata tiada tekanan tambahan buat Liverpool sambil menggesa pasukan kendaliannya itu untuk menggunakan kesempatan yang ada.

"Kami akan lihat. Setakat ini, saya tidak berasa tertekan. Saya melihatnya sebagai peluang memandangkan jarang untuk kami meraihnya," tambahnya.

"Sebagai pasukan dari Eropah, anda perlu memenangi Liga Juara-Juara, ia menjadikannya lebih istimewa.

"Kami tahu nikmatnya apabila menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah tetapi tidak memikirkannya apabila tiba ke saingan Piala Super Eropah. Jadi, kami akan bermain dan ia berasa bagus.

"Apabila kami ke sana, kami akan bersedia untuknya. Pemain mahu beraksi, jadi ia akan menarik. Ia bakal jadi sesuatu yang besar untuk kami, saya yakin 100 peratus."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen