Jurgen Klopp menolak untuk menyalahkan Adrian sebagai punca kekalahan Liverpool di tangan Atletico Madrid tetapi mengakui kesilapan penjaga gol itu memberikan kesan besar.

Kempen Liverpool untuk mempertahankan trofi Liga Juara-Juara lebur selepas tewas 3-2 dalam masa tambahan sekali gus tunduk 4-2 agregat di tangan Atletico.

Namun, gergasi Liga Perdana Inggeris itu tampak berada di landasan terbaik untuk ke suku akhir selepas jaringan daripada Georginio Wijnaldum dan Roberto Firmino sebelu kesilapan Adrian ketika mengeluarkan bola memberikan ruang buat Marcos Llorente meledakkan gol.

Llorente menambah gol kedua sebelum jaringan lewat Alvaro Morata memastikan Liverpool tewas di Anfield dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2014.

Walaupun melakukan kesilapan, Klopp enggan menyalahkan penjaga gol itu tetapi menegaskan Adrian sedar apa yang dilakukan.

"Dia orang dewasa dan tahu apa terjadi," kata Klopp.

"Kami tidak akan menyalahkannya. Saya tidak tahu tetapi dia perlu dihormati. Semestinya dia tidak mahu lakukannya. Sebelum ini, dia banyak menyelamatkan kami. Sejak berada di sini, prestasi Adrian sangat bagus.

"Jaringan ini tidak membantu tetapi itu yang berlaku. Saya katakan, jika anda tewas, ia pasti bersebab. Hari ini, detik penting bukan kekalahan tetapi ia memberi kesan besar.

"Kami patut tidak bercakap mengenainya kerana ia jelas. Kami dibolosi lebih banyak gol selepas itu dan meledakkan jaringan buat pasukan. Banyak sebab mengapa kami tidak layak.

"Ini yang berlaku dalam kehidupan terutama apabila jawatan anda diperhatikan orang ramai. Mereka akan mudah menghakimi anda. Namun, Adrian orang dewasa dan dia akan hadapinya. Kami akan membantunya tetapi saya fikir dia perlukannya."