LIVERPOOL 2 TOTTENHAM 1

Jurgen Klopp berkata Liverpool telah mempamerkan persembahan yang mantap selepas mara ke pusingan suku akhir Piala EFL apabila menewaskan Tottenham Hotspur 2-1.

Daniel Sturridge meledak dua gol buat pasukan tuan rumah di depan penyokong seramai 53,051 orang - jumlah kehadiran terbesar untuk aksi Piala Liga di stadium keramat itu.

Vincent Janssen merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-76 tetapi Liverpool memastikan mereka mara ke pusingan seterusnya buat kali kedua berturut-turut.

Klopp membuat rombakan menyeluruh terhadap kesebelasan utama The Reds, menyaksikan Trent Alexander-Arnold melakukan penampilan sulung manakala prestasi cemerlang Ovie Ejaria ketika bertemu Derby County memberikan peluang buat dirinya memulakan perlawanan.

"Saya mengambil positif beberapa bahagian dalam perlawanan ini. Bahagian tersebut telah saya bayangkan sebelum perlawanan bermula lagi," kata Klopp kepada Sky Sports.

"Kami kehilangan tumpuan seketika dalam aksi ini. Kami telah mengundang masalah dengan gaya hantaran kami tetapi secara keseluruhan, ia satu keputusan yang positif.

"Kami berhak memenangi perlawanan ini, kami menghasilkan banyak peluang dan penjaga gol Tottenham juga mempamerkan aksi yang cemerlang. Ia satu perlawanan yang menghiburkan.

Alexander-Arnold bermain selama 68 minit di bek-kanan sebelum memberikan ruang kepada Nathaniel Clyne manakala Ejaria menyempurnakan perlawanan ini.

Dengan gandingan di bahagian tengah, Marko Grujic dan Kevin Stewart turut bermain sehingga tamat perlawanan, Klopp berasakan masa depan mereka cerah bersama Liverpool.

"Mereka bermain sangat baik. Pemain-pemain ini mampu menahan tekanan berdepan Tottenham, sekaligus meningkatkan kualiti permainan mereka."