Jurgen Klopp tidak bimbang mengenai kecederaan buku lali Mohamed Salah sambil membayangkan penggempur Liverpool itu sedia untuk diturunkan menentang Napoli dalam Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok.

Salah hanya memanaskan bangku simpanan ketika The Reds menang 2-1 di Crystal Palace dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu, dan Klopp memberi isyarat bahawa tempoh rehat itu telah memberi peluang kepada pemulihan tonggak dari Mesir tersebut.

Sejak ditimpa kecederaan dalam kemenangan ke atas Leicester City bulan lalu, Salah telah mengehadkan sesi latihannya selain tidak terbabit dalam jadual antarabangsa ketika Mesir berdepan Kenya dan Comoros bulan ini.

Ditanya mengenai situasi Salah menjelang pertemuan dengan kelab Itali itu, Klopp memberitahu sidang akhbar: "Sangat bagus, (dia) kelihatan dalam keadaan yang sangat baik dalam sesi latihan semalam, terutama selepas perlawanan (dengan Palace).

"Semalam, kami tidak melakukan terlalu banyak aktiviti tetapi kami akan memantaunya, saya tidak bimbang mengenainya."

Klopp juga berkongsi perkembangan mengenai kecederaan lutut yang menimpa Joel Matip yang meminggirkan pertahanan berusia 28 tahun itu dalam tempoh lebih sebulan.

Penampilan terakhir Matip adalah ketika Liverpool seri 1-1 dengan Manchester United di Old Trafford pada 20 Oktober lalu, namun pengurus berbangsa Jerman itu enggan meletakkan sebarang tarikh kemunculan semulanya.

"Minggu ini adalah tempoh penting, kami akan membina, kami perlu mengukur proses penyembuhannya, mungkin melalui imbasan," katanya.

"Kemudian, barulah kami akan melihat bagaimana keadaannya. Dari situ, kami boleh membuat keputusan.

"Tidak ada apa-apa yang boleh membuatkan anda terburu-buru, anda hanya perlu menunggu. Tubuh kita adalah seperti ini dari semasa ke semasa, jadi tiada yang baru tentangnya."

Liverpool boleh memastikan kemajuan ke peringkat kalah mati UCL jika menang ke atas Napoli yang mengalahkan mereka dalam perlawanan pembukaan September lalu.

Namun, Klopp memberi amaran kepada barisan pemainnya agar melawan godaan terlalu memandang ke hadapan, iaitu perlawanan dengan Salzburg yang akan menjadi kurang penting bulan depan.

The Reds kini di puncak Kumpulan E, satu mata di depan Napoli dan lima mata di depan Salzburg dengan baki dua perlawanan di peringkat kumpulan.

Klopp kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada misi juara bertahan Eropah itu untuk berdepan skuad bimbingan Carlo Ancelotti tersebut yang mengalami prestasi merudum bulan lalu.

"Kesalahan terbesar yang boleh kami lakukan ialah memikirkan apa yang akan berlaku jika kami menang," katanya.

"Itulah matlamat kami, begitu juga dengan Napoli -- jika mereka memenangi perlawanan, mereka juga akan layak.

"Saya menjangkakan mereka akan mempamerkan persembahan mantap.

"Mereka adalah sebuah pasukan yang baik. Ya, mereka tidak mempunyai keputusan seperti yang diharapkan dalam beberapa minggu yang lalu tetapi mereka mungkin berasakan satu kelegaan bahawa mereka boleh berasa bebas dalam perlawanan seperti ini. "