SALZBURG 0 LIVERPOOL 2

Jurgen Klopp berkata dia tidak tahu bagaimana Mohamed Salah boleh menjaringkan gol kedua ketika Liverpool menewaskan Salzburg 2-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah di Arena Red Bull awal pagi tadi.


Juara bertahan itu mengesahkan tempat ke pusingan 16 selaku juara Kumpulan E hasil jaringan Naby Keita dan Salah, yang berselang tidak sampai dua minit.

Percubaan kaki kanan Salah selepas mengatasi penjaga gol lawan, Cican Stankovic, menghasilkan gol dari sudut yang amat-amat sempit untuk penyerang berbangsa Mesir itu menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut.

Ditanya bagaimana Salah melakukan jaringan seperti itu, Klopp berkata kepada BT Sport: "Saya tidak tahu! Tidak tahu.

"Sejujurnya, dengan kualitinya, dengan bagaimana dia menghadapi satu, dua situasi lain, saya tidak tahu (bagaimana dia melakukannya).

"Ia amat hebat, itulah yang berlaku.

"Pada malam yang sempurna, sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol, terutama dengan kualiti pemain kami.

"Tetapi apabila ia kelihatan seperti 'ia bukan malam saya' dan kemudian bangkit dan menjaringkan gol, ia sesuatu yang amat besar dalam bola sepak.

"Apabila kami memiliki bola dan apabila kami bermain dengan tenang, kami akan lebih cepat ke gawang mereka dan menjaringkan gol, lebih kurang seperti itu.

"Tetapi kami tidak menjaringkannya dalam situasi seperti itu.

"Kami menjaringkan gol yang hebat (daripada Keita) dan Mo, dalam situasi sukar sepanjang malam ini, dia menjaringkan gol, jadi semuanya baik-baik sahaja.

"Itulah tugas penyerang.

"Terlalu banyak prestasi yang hebat dan dengan sekali lagi menunjukkan perwatakan hebat seperti ini, saya benar-benar gembira," katanya.

Klopp kagum dengan Salzburg dan berasakan pemainnya benar-benar telah diuji walaupun mereka sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

Pengurus berbangsa Jerman itu menambah: "Saya amat menghormati apa yang Salzburg lakukan di sini.

"Mereka pasukan yang hebat, usaha yang hebat dan perlawanan yang amat sukar, juga licik.

"Mereka bermula secara terus, setiap perkara kecil yang mereka lakukan, mereka melakukan banyak perkara bijak.

"Tetapi amat jelas, peluang terbaik itu dimiliki kami.

"Mereka melakukan banyak perkara tetapi kami berada di sana. Kami sedia bertahan.

"Anda tidak boleh sentiasa bertahan pada awal permainan tetapi kami dapat melakukannya pada penghujung permainan.

"Kami perlu membuat percaturan yang tepat.

"Ia perlawanan yang amat mendebarkan dan dalam babak kedua, mereka (Salzburg) tidak dapat menangani keamatan selepas separuh masa pertama.

"Kami kemudian menjaringkan dua gol, gol yang hebat.

"Dalam perlawanan seperti ini, kami boleh menjaringkan enam, tujuh gol dan ia amat gila.

"Tetapi tidak mengapa, kami memenangi perlawanan ini, menjuarai kumpulan ini dan semuanya bagus," katanya.

Liverpool memenangi empat perlawanan berturt-turut dalam kesemua kejohanan dan tidak pernah kalah sejak ditewaskan Napoli pada 17 September lalu.