Jurgen Klopp tidak mengambil pusing mengenai peluang Liverpool untuk bertembung dengan Real Madrid dalam pusingan seterusnya dalam Liga Juara-Juara (UCL) yang disifatkan sebagai peluang membalas dendam.

Jaringan Mohamed Salah dalam separuh masa pertama ke atas Napoli awal pagi tadi membantu The Reds menempah laluan ke pusingan 16 sebagai naib juara Kumpulan C.

Ini bermakna mereka berpeluang mengatur janji temu dengan pendahulu Kumpulan G merangkap juara bertahan itu, sekali gus mengulangi perlawanan akhir UCL musim lalu di Kiev yang menyaksikan Salah terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Dalam sidang berita pasca perlawanan bertemu Napoli, Klopp dimaklumkan bahawa penyokong The Reds telah menyatakan kepada wartawan mengenai keinginan mereka untuk menghadapi Madrid lagi, namun pengurus dari Jerman tersebut menegaskan bahawa dia tidak terdorong dengan misi balas dendam.

"Satu-satunya perkara yang saya tahu, ramai peminat mahu membalas dendam terhadap Paris Saint-Germain (PSG) -- selepas kekalahan di Paris bulan lalu.

"Bagaimanapun, kami tidak mengatakan apa-apa, itu sahaja setakat yang saya tahu," kata Klopp.

"Kami menantikan cabaran itu, tiada masalah. Kami akan menunggu hasil undian pusingan 16 dan sehingga setakat kini, kami tidak tahu. Bagaimana saya boleh duduk di sini dan memilih untuk bertemu pasukan tertentu?

"Saya tidak peduli, kami adalah pasukan kedua yang mengakhiri peringkat kumpulan, kami akan mempunyai lawan yang hebat, itu sahaja."

Klopp juga tidak memikirkan soal fasa kalah mati dan pasukan manakah yang boleh mencetuskan masalah dalam pertandingan itu.

Ditanya pasukan manakah yang dia percaya merupakan pilihan dalam UCL, dia menjawab: "Saya tidak tahu dan saya tidak peduli sebenarnya -- semua pasukan masih dalam saingan.

"Kami mempunyai tempoh yang panjang dan sehingga Februari nanti, kami masih mempunyai sekitar 30 perlawanan untuk diharungi. Diharapkan semua pemain dalam keadaan sihat dan boleh menghasilkan persembahan yang tepat untuk perlawanan itu nanti!"