Jurgen Klopp lantang mempertahankan Mohamed Salah selepas anak buahnya itu dituduh sengaja merebahkan badan ketika berdepan West Ham sedangkan menjelaskan pemain Mesir tersebut jelas dikasari dalam kejadian terbabit.

Liverpool ketinggalan selepas dihukum jaringan Pablo Fornals di Anfield, kelmarin, tetapi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kembali berjuang untuk menuntut kemenangan 2-1.

Sepakan penalti oleh Salah itu mengimbangi kedudukan 1-1 selepas Arthur Masuaku dihukum kerana mengasarinya, bintang Liverpool tersebut bagaimanapun dikritik kerana terjatuh selepas menerima kontak yang paling minimum di bahagian atas kakinya.

Begitupun, Klopp menegaskan Salah telah diperlakukan secara tidak adil memandangkan kaki pemainnya itu telah diterjah sebanyak tiga kali, salah satunya cabaran daripada Masuaku.

Ketika ditanya situasi itu menjelang pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Atalanta awal pagi esok, tentang adakah Salah mendapat keadilan, Klopp berkata: "Tidak -- Saya tidak tahu apa yang orang perlukan. Apa yang boleh saya katakan? Ia adalah satu terjahan yang saya fikir hampir semua orang boleh melihat keadaannya.

"Percaya atau tidak, pagi semalam saya bercakap dengan Mo tentang bagaimana perasaannya, dia diterjah tiga kali dengan tepat di kakinya dan satu daripadanya menghasilkan sepakan penalti.

"Begitulah keadaannya, sama ada terjahan itu menjatuhkan anda atau tidak, kadang-kadang pengadil akan tetap meniupkan wisel. Kami tidak bercakap panjang mengenai sepakan penalti yang tidak menyebelahi kami, namun selepas dua hari berlalu ia masih menjadi topik perbincangan.

"Ada kontak yang jelas, oleh itu saya tidak memahami kritikan sedemikian."




Diogo Jota muncul wira ketika bertindak sebagai pemain gantian ketika bertemu The Hammers untuk mencetak gol dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk bersama Portugal.

Beberapa pihak menyeru Jota mengambil tempat Roberto Firmino dalam kesebelasan The Reds, Klopp sebaliknya tidak tertarik dengan perdebatan seperti itu sambil menolak tanggapan peranan awal yang dimainkan tonggak berusia 23 tahun itu sesuatu yang mengejutkannya.

"Dia bagus, itulah yang kami jangkakan apabila mendapatkan pemain baru," tambahnya.

"Dia baru berusia 23 tahun tetapi sudah berpengalaman luas kerana kerap beraksi dalam Liga Perdana. Dia seorang pemuda yang baik dan pemain yang bagus.

"Kami tidak pernah menyekat pemain pada awal ketibaannya, mereka cuma memerlukan masa untuk menyesuaikan diri tetapi kami sudah menyedari dia tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri berikutan pendekatan permainan Wolves. Mereka menerapkan sistem yang berbeza tetapi tahap ketekalan yang diperagakan selalunya tinggi."

Liverpool melangkah ke pertembungan Atalanta selepas memenangi kedua-dua perlawanan awal, tetapi Klopp memiliki mimpi buruk dalam kempen UCL di Itali apabila kecundang kelima-lima perlawanan.

Selain itu, Atalanta hanya gagal menjaringkan gol dalam satu daripada 19 perlawanan terakhir UCL tidak termasuk peringkat kelayakan apabila meledak 40 gol dalam tempoh itu.