Alisson semakin membara kebelakangan ini tetapi dia "akan dapat tidur nyenyak" kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, selepas pasukannya tidak dibolosi ketika menewaskan RB Leipzig 2-0 awal pagi tadi.

Gol dalam babak kedua daripada Mohamed Salah dan Sadio Mane memberikan skuad The Reds itu kelebihan dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Budapest menjelang perlawanan kedua di laman Liverpool pada 10 Mac ini.

Bagaimanapun, sebelum dua jaringan itu, Alisson melakukan aksi menyelamat penting bagi menafikan percubaan Christopher Nkunku pada minit ke-46.

Rekod tanpa bolos berkenaan tiba selepas penjaga gol kebangsaan Brazil itu dikritik hebat kerana menjadi punca kekalahan 1--4 kepada Manchester City dan 1-3 kepada Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Sudah pasti, sudah pasti," kata Klopp ketika ditanya sama ada Alisson kini berasa lebih baik.

"Dia sejujurnya melakukan momen besar ketika menentang Leicester, beberapa aksi menyelamat bijak, jadi itulah keadaannya, sudah pasti ia membantu.

"Perlawanan tanpa bolos, saya dapat bayangkan Ali akan tidur nyenyak dalam penerbangan pulang dan seperti kebiasaan, dia banyak membantu kami," katanya.