Klopp: Pemain-pemain muda pamer aksi terpuji

Oleh Staff Writer 31 Oktober 2019 1727
Klopp: Pemain-pemain muda pamer aksi terpuji
LIVERPOOL 5 ARSENAL 5
(Liverpool menang 5-4 menerusi penentuan penalti)

Jurgen Klopp memuji persembahan pemain-pemain mudanya selepas beliau melakukan 11 pertukaran dan menyaksikan Liverpool menewaskan Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 5-5 dalam aksi Piala EFL di Anfield awal pagi tadi.


The Reds bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk membawa perlawanan ke penentuan penalti dan pemain tengah, Curtis Jones, menjaringkan sepakan penalti kemenangan selepas perlawanan perlu ditentukan menerusi sepakan penalti.

Harvey Elliott menjadi pemain termuda yang membuat penampilan untuk Liverpool di Anfield serta Klopp memberikan penampilan sulung bagi pertahanan, Neco Williams, dalam perlawanan yang bakal sentiasa diingati barisan muda itu.

"Apa yang saya harapkan daripada pemain-pemain ini adalah mereka akan sentiasa mengingati apa yang berlaku dalam perlawanan ini," kata pengendali Liverpool itu kepada Sky Sports.

"Ramai yang melihat kesebelasan utama kami dan menyangkakan Liverpool tidak mengambil serius kejohanan ini tapi kami tidak boleh melakukannya secara berbeza -- kami perlu membuat banyak pertukaran tapi kami hanya melakukannya kerana kami percayakan pemain-pemain muda ini.

"Apa yang telah dilakukan mereka malam ini, bagaimana mereka beraksi, saya benar-benar menyukainya."

Klopp memilih untuk memuji Williams selepas hantarannya berjaya menemui Divock Origi untuk meledak gol kelima Liverpool dan beliau berpuas hati dengan persembahan penjaga gol berusia 20 tahun, Caoimhin Kelleher, walaupun Arsenal menewaskannya lima kali.

Kelleher menafikan sepakan penalti Dani Ceballos untuk memastikan slot ke suku akhir dan Klopp menegaskan kepentingan untuk "menjadi wira seperti dalam perlawanan ini".

"Kelleher, yang bolos lima kali, tetapi dia merupakan seorang bakat yang menonjol.

"Williams melakukan hantaran lintang untuk Origi sedangkan tiga minggu lalu, dia tidak akan terfikir untuk bermula dalam kesebelasan.

"Curtis Jones, ia bukan keputusan saya untuk dia mengambil sepakan penalti terakhir. Origi dan Curtis menukarnya kerana apabila saya melihat senarai sebelum itu, Origi yang patut mengambil sepakan terakhir!

"Pemain-pemain akan mengingati kemenangan ini dan ia adalah sesuatu yang manis boleh anda katakan tentang bola sepak."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen