Harapan Liverpool untuk sekali lagi bangkit di pentas Eropah di Anfield bakal berkurang ekoran ketiadaan penonton, perkara itu diakui pengurus pasukan, Jurgen Klopp.

The Reds tewas 3-1 kepada Real Madrid dalam aksi suku akhir pertama saingan Liga Juara-Juara (UCL) di bumi Sepanyol, menyaksikan mereka berdepan tugas menggunung untuk melangkah ke separuh akhir.

Liverpool hanya lolos dua kali dalam 13 perlawanan kalah mati di mana mereka tewas dalam aksi pertama dengan ketinggalan dua jaringan, paling terbaru ketika mengejutkan Barcelona 4-0 di Anfield selepas tewas perlawanan pertama 3-0.

Anfield sudah tidak lagi dianggap sebagai kubu ampuh musim ini ketika perlawanan terpaksa dilangsungkan tanpa kehadiran penonton, dengan kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa menamatkan kekalahan enam perlawanan berturut-turut di tempat sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat penyandang juara itu.

Klopp menerima ia satu tamparan hebat beraksi tanpa penonton tetapi berharap pemain-pemain percaya dengan peluang mereka.

"Ketika ketinggalan 3-1, ia kelihatan seperti sudah tersingkir," katanya. "Ia bermakna anda tidak berdepan risiko, jadi kami akan memberikan yang terbaik.

"Ia merupakan keputusan atas persembahan dalam perlawanan tersebut: mereka lebih baik daripada kami dan Liverpool tidak sehebat yang pernah kami pamerkan, atau seharusnya. Tetapi ia adalah perlawanan pertama.

"Cuma ada satu masalah tambahan: tiada penyokong di stadium. Keputusan adalah masalahnya, kualiti lawan adalah masalah, dan jelas bahawa stadium kosong juga menjadi masalah.

"Ia selalu mengenai memenangi perlawanan bola sepak dan itulah sasarannya. Adakah ia akan berakhir dengan kebangkitan?, saya tidak tahu."


Real Madrid telah menjaringkan gol dalam 23 perlawanan kalah mati UCL dan jaringan di tempat lawan akan menjadikan mereka berada dalam kedudukan yang baik untuk mara ke peringkat seterusnya.

Ketika Klopp mahu kekal tidak dibolosi, dia tidak pasti mana-mana pasukan mampu menghalang Real jika mereka berada di tahap terbaik.

"Tidak bolos amat penting tetapi ia tidak berbeza dengan perlawanan lain -- anda tidak mahu dibolosi lawan," katanya.

"Saya tidak pasti [jika ada] sesiapa di dunia mampu menafikan Real Madrid jika berada di tahap terbaik."