Jurgen Klopp berpendapat pemain tengah Liverpool, Joel Matip, boleh pulih tepat pada masanya untuk menghadapi Chelsea, Sabtu ini, sementara Adam Lallana hampir kembali daripada kecederaan paha.

Matip tidak dapat beraksi dalam kemenangan 3-0 Liverpool ke atas Southampton, hujung minggu lalu, kerana mengalami sedikit kekejangan paha dalam latihan dan dia juga akan direhatkan dalam kunjungan ke Sevilla untuk Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok.

Tetapi Klopp sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebimbangan penyokong, dengan pemain antarabangsa Cameroon itu dijangka kembali beraksi dalam lawatan Chelsea ke Anfield.

"Skuad kelihatan bagus," kata Klopp kepada laman web rasmi Liverpool. "Kebanyakan mereka berada di sini selain Matip. Dia berada di Liverpool dan menjalani latihan penuh, semuanya baik.

"Matip dalam keadaan baik, saya fikir ada kemungkinan besar dia akan sedia untuk Sabtu ini tetapi tidak ada peluang untuk perlawanan ini -- ia agak cepat tetapi semuanya baik."

Lallana diketepikan sejak awal Ogos lalu tetapi Klopp berkata dia semakin hampir untuk kembali beraksi.

"Dia semakin hampir," kata Klopp. "Kami memerlukannya untuk baki musim ini dan bukannya untuk minggu depan."