Klopp bentuk saya jadi penggempur berbisa -- Lewandowski 

Oleh Shaiful Shamsudin 12 Januari 2021 570
Klopp bentuk saya jadi penggempur berbisa -- Lewandowski 
Robert Lewandowski menyanjungi Jurgen Klopp yang menggilapnya hingga diangkat sebagai penyerang terbaik dunia bulan lalu.

Bintang Bayern Munich itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik FIFA musim 2020 selepas membintangi Die Roten meraih gelaran Bundesliga, Liga Juara-Juara (UCL) dan DFB-Pokal.

Di antara 20 Julai 2019 dan 7 Oktober 2020 -- tempoh calon anugerah itu dinilai -- Lewandowski telah meerakamkan 60 gol dalam 52 penampilan bersama gergasi Jerman tersebut dengan kadar satu gol dalam setiap 76 minit.

Dia mengetepikan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk memenangi anugerah itu, ketua pasukan Poland berkenaan secara tidak langsung diiktiraf pemain bola sepak terbaik di dunia 2020 berikutan ketiadaan Ballon d'Or bagi edisi lalu.

Sebelum Lewandowski menikmati rentetan kejayaan di Bayern sejak 2014, dia terlebih dahulu mengukir nama di Borussia Dortmund di mana Klopp membentuknya menjadi sebagai penggempur digeruni ketika ini. 

Sempena kemenangannya dalam Anugerah FIFA itu, Lewandowski sempat memuji pengurus Liverpool terbabit: "Jurgen bukan setakat sosok sebagai ayah bagi saya. Sebagai jurulatih dia merupakan seorang 'guru yang teruk', yang saya maksudkan adalah yang terbaik.

"Dia tidak mempermudahkan hidup saya dan tidak pernah mengharapkan apa-apa daripada saya melainkan bersikap tegas. Dia akan memberi tekanan dan melakukan segalanya untuk mendapatkan yang terbaik daripada saya, Itulah guru yang menjadikan saya seperti ini.



"Dia tidak puas sekadar membiarkan anda menjadi pelajar kelas B. Jurgen mahukan pelajar A+. Bukan untuk dirinya sendiri, sebaliknya untuk anda.

"Saya boleh bercakap dengan Jurgen tentang apa saja. Saya boleh mempercayainya. Dia adalah seorang yang mementingkan kekeluargaan dan dia mempunyai empati tinggi terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan peribadi anda."

Lewandowski memerlukan tempoh semusim untuk menyesuaikan diri di Jerman sejurus dibeli daripada kelab Poland, Lech Poznan, yang menyaksikannya mencetak lapan gol Bundesliga dalam 33 pertandingan pada 2010-11.

Ia masih menjadi satu-satunya musim yang menyaksikan dia gagal mencetak dua angka gol sepanjang di Jerman, tidak hairanlah Lewandowski menganggap pengaruh Klopp memainkan peranan utama terhadap peningkatan prestasinya.

"Dia banyak mengajar saya," katanya lagi. 

"Ketika saya tiba di Dortmund, saya ingin melakukan segalanya dengan cepat: hantaran kuat, satu sentuhan sahaja. Jurgen menunjukkan kepada saya cara untuk bertenang -- membuat dua sentuhan jika perlu.

"Ia amat bertentangan dengan sifat sebenar saya, tetapi tidak lama kemudian saya mula menyumbat lebih banyak gol. Ketika saya seperti mahu mengalah, dia mencabar saya agar berusaha lagi.

"Satu sentuhan. BANG. Jaringan terhasil. Dia melambatkan saya demi mempercepatkan saya. Kedengarannya sederhana tetapi ia satu tindakan yang cukup bijak."

Kadar jaringan Lewandowski meningkat daripada 13.1 kepada 22.5 peratus selepas musim pertamanya bersama Klopp dan catatan itu tidak pernah merosot di bawah 20 peratus.

Pemain berusia 32 tahun itu menyempurnakan 44.4 peratus peluang terhidang untuk melakar 20 gol dalam 14 perlawanan Bundesliga setakat ini. 



Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen