HERTHA 1 OSTERSUNDS 1

Ini adalah satu persembahan yang akan membanggakan mana-mana ibu-bapa, terutama legenda Jerman, Jurgen Klinsmann, selepas anaknya menyelamatkan penalti lewat dalam penampilan pertamanya bersama Hertha Berlin.


Jonathan Klinsmann muncul wira pasukannya awal pagi tadi selepas penjaga gawang berusia 20 tahun itu berjaya menepis sepakan penalti pada minit ke-87 untuk memastikan Hertha seri 1-1 di laman sendiri dengan Ostersunds FK dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Europa.

Dengan penjaga nombor satu, Rune Jarstein, direhatkan manakala pilihan kedua, Thomas Kraft, diketepikan kerana tidak sihat, Klinsmann diberi penampilan pertamanya dan ternyata pemain muda dari Amerika Syarikat itu tidak mengecewakan ketika merebahkan badan untuk menangkis tendangan Brwa Nouri.

Klinsmann, yang menandatangani kontrak profesional dengan Hertha selepas melalui proses penilaian pada Julai lalu, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.

"Ia pasti gila, saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya," kata Klinsmann kepada Hertha TV.

"Pertama, memulakan permainan. Kedua, Liga Europa dan semua ini gila.

"Beberapa hari sebelum perlawanan, saya sangat gementar lalu mula terlalu banyak memikirkannya, saya tidak tahu apa yang difikirkan, saya menelefon ayah, dia menenangkan saya sedikit."

Ketika menghadapi sepakan penalti bagi aksi Kumpulan J itu, Klinsmann berkata: "Itu lucu, sebelum perlawanan kami tidak bersedia dengannya sehingga sebelum sepak mula. Ia bukanlah perkara yang kami fikir akan berlaku tetapi jelas kami perlu sentiasa bersedia.

"Saya hanya memberitahu diri sendiri, kebanyakan pemain akan tendang ke kiri dan saya mempunyai firasat mengenainya lalu 100 peratus ke sudut itu dan ia berhasil."

"Mendapat peluang dalam pasukan utama adalah suatu suasana yang berbeza jika anda seorang penjaga gol. Saya mempunyai hubungan rapat dengan pemain barisan kedua.

"Untuk membantu meraih keputusan ini dan anda melihat mereka berasa lega selepas tindakan menyelamat itu serta gembira untuk anda dan pasukan, ia situasi yang menyeronokkan," katanya.