Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membantah arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) yang menuntut badan induk itu mengadakan kongres ke-31 persatuan pada 15 September depan.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, mengakui tidak bersetuju dengan tarikh yang dituntut tetapi badan induk itu sudah mengemukakan surat rayuan kepada PJS untuk mengadakan kongres berkenaan sekurang-kurangnya pada akhir Oktober depan.

Sebelum ini, PJS telah meluluskan permohonan badan induk itu untuk mengadakan kongres ke-31 selewat-lewatnya November depan.

"Mengikut PJS, beliau kata ini kemelut yang menyusahkannya. Namun, saya rasa kemelut sudah senyap. Kami perlu masa untuk selesaikan tunggakan dan tidak mahu apabila pengurusan ambil alih, ada perkara yang tidak diselesaikan," katanya.

Dia juga menambah selepas merujuk perkara itu kepada pasukan guaman, badan induk itu tidak akan teragak-agak untuk mengheret masalah berkenaan ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Terdahulu, PJS terpaksa menangguhkan tarikh pemilihan itu ekoran wujud bantahan dalam kalangan ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan proses pencalonan kongres ke-31 KLFA.

"Saya telah dapatkan tenaga untuk menukarkan segala dokumen daripada Bahasa Malaysia kepada Bahasa Inggeris agar boleh dihantar kepada FIFA, apa yang berlaku di Malaysia."