Ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman, berkata klausa antara dia dan Barcelona telah dilanjutkan sehingga 2021 selepas saingan Euro 2020 ditangguhkan akibat wabak coronavirus.

Bekas bintang Barca, Koeman, dilihat bakal menggantikan tempat Ernesto Valverde, yang akhirnya dipecat dan digantikan Quique Setien, Januari lalu.


Sebelum ini, Koeman memaklumkan kontraknya bersama Belanda memiliki klausa di mana dia akan berhijrah ke Camp Nou selepas tamat Euro 2020.

Namun, memandangkan Euro dilanjutkan 12 bulan kerana wabak COVID-19, pengendali itu menjelaskan kontraknya.

"Klausa dalam kontrak adalah saya akan ke Barca selepas Kejohanan Eropah," katanya.

"Tiada tarikh ditetapkan, buat masa sekarang, ia selepas Kejohanan Eropah 2021.

"Namun, saya langsung tidak memikirkannya."

Semalam, UEFA mengesahkan penangguhan Euro 2020 dan saingan itu dijadualkan semula pada Jun dan Julai tahun depan.

Kesemua kejohanan dan perlawanan UEFA melibatkan kelab serta pasukan kebangsaan telah dihentikan sementara.

Dalam masa sama, Belanda kini tanpa khidmat bintang, Memphis Depay, yang menjalani pembedahan lutut tetapi Koeman berkata: "Ia tempoh rehat yang bertuah tetapi menyedihkan apabila Kejohanan Eropah tidak dapat diadakan sekarang.

"Kami layak di peringkat yang baik, dalam keadaan terbaik dan mahu meneruskan prestasi ini."