Davy Klaassen mendakwa agak mustahil untuk membandingkannya dengan pemain tengah bertaraf dunia, Toni Kroos, serta Xavi.

Sebelum ini, legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff, menyamakan Klaassen dengan Xavi dan Kroos di atas sumbangan di atas padang.

Pemain Belanda, Klaassen, menyertai Werder Bremen bagi musim 2018/19 selepas hanya menikmati tujuh penampilan Liga Perdana Inggeris bersama Everton.

Pemain berusia 25 tahun itu berasakan dia tidak layak untuk dibandingkan dengan ikon Barcelona, Xavi, serta bintang Real Madrid, Kroos.

"Tidak, saya rasa agak mustahil untuk dibandingkan dengan nama-nama itu," kata Klaassen.

"Namun, saya rasa ia lebih mustahil untuk membandingkan sesiapa dengan Kroos dan Xavi.

"Saya fikir ia mustahil kerana mereka merupakan barisan pemain tengah terbaik dunia. Memang sesuatu yang indah apabila diperkatakan begitu tetapi saya tetap melihatnya mustahil."

Klaassen melalui tempoh kekecewaan dalam saingan Liga Perdana Inggeris bersama Everton sejak berhijrah daripada Ajax tetapi pantas menyesuaikan diri dalam Bundesliga apabila melakukan 11 penampilan dan menyumbat dua gol dalam liga.

Pengendali Bremen, Florian Kohfeldt, dilihat sebagai bintang masa depan buat Bremen dan Klaassen mendedahkan corak permainan pengurus berusia 36 tahun itu sesuai dengan gayanya.

"Dia sangat sukakan bola sepak. Kadangkala, dia akan menjadi gila apabila kami menang atau kalah," tambah Klaassen.

"Bagi saya, dia mempunyai pandangan yang jelas terhadap taktik dan segalanya, jadi saya rasa dia seorang jurulatih yang baik.

"Kohfeldt memainkan peranan dalam membuatkan saya hadir ke sini kerana saya telah menonton beberapa aksi musim lalu, menyebabkan keinginan saya melonjak. Selepas bercakap dengannya, saya mahu ke Bremen kerana ia adalah sesuatu yang saya suka.

"Gaya permainan sangat penting kerana saya harus berasa selesa dengan corak permainan untuk berada di prestasi terbaik. Saya rasa saya beraksi di tahap terbaik di sini kerana corak permainan dan percaturan yang dibuat. Ia sangat penting."