Tindakan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menandatangani perjanjian hak penajaan Liga Malaysia dengan Ampersand Sports Sdn Bhd dilihat sebagai langkah tepat dalam menjana pendapatan.

Menurut pemerhati sukan tempatan, Rizal Hashim, dengan penajaan bernilai RM104 juta untuk tempoh lima tahun itu, ia adalah pulangan lumayan yang boleh dijana FMLLP hasil perjanjian dengan Ampersand Sports.

Rizal turut memuji pucuk pimpinan FAM yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam menjana kerjasama dengan syarikat tersebut kerana badan induk bola sepak itu kini tampak mempelajari
kesilapan pucuk pimpinan terdahulu.

"Sudah tentu kita tidak mahu pisang berbuah dua kali tetapi syabas kepada kepimpinan FAM, khususnya presidennya (Tunku Ismail) dan FMLLP kerana berjaya menyuntik dana RM104 juta untuk lima tahun.

"Ia satu perkembangan yang baik untuk memastikan Liga Malaysia ini kekal hidup. Kita tahu bahawa untuk mengendalikan industri bola sepak ini, ia memerlukan perbelanjaan besar," katanya.

Sementara itu, Rizal juga berasa tindakan meletakkan hak penyiaran kepada FMLLP juga adalah pendekatan yang wajar.

Katanya, ia kerana FMLLP sebagai pemegang hak penyiaran pasti akan mengutamakan kepentingan FAM, FMLLP sendiri dan peminat bola sepak tempatan.

"FMLLP memegang hak siaran dan terpulang kepada pembida yang terbabit untuk memastikan mereka mendapat hak siaran.

"Apabila FMLLP memegang hak siaran ini, sudah tentu kepentingan bersama termasuk peminat diutamakan," ujarnya.

Menerusi perjanjian itu, Ampersand Sports dilantik sebagai agensi eksklusif bagi hak penajaan pertandingan sebanyak RM104 juta untuk tempoh lima tahun bermula tahun depan.