Pemerhati bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir, berpendapat Malaysia harus membentuk pasukan baru dengan mengetengahkan pemain muda demi melihat pencapaian lebih baik pada masa akan datang.

"Saya pernah menegaskan sebelum ini bahawa kita harus melupakan skuad sedia ada dan memulakan dengan pasukan baru," katanya selepas Harimau Malaya tewas dua kali 1-4 kepada Korea Utara di Buriram, Thailand.

"Kita harus mengetengahkan skuad muda bagi memastikan perjalanan pasukan kebangsaan lebih baik. Ketika ini, skuad senior telah mengecapi kejayaan yang ditawarkan sebelum ini."

Dua kekalahan di tangan Korea Utara itu menutup rapat peluang Malaysia untuk mara ke Piala Asia 2019, dengan menduduki tangga tercorot Kumpulan B hingga akhbar Kosmo melabelkan mereka sebagai 'Sotong Malaya'.

Seorang lagi pemerhati, Asmawi Bakiri, berkata: "Kontrak Vingada perlu diambil kira kerana status Vingada itu sangat besar tetapi dia harus diberikan peringatan sama ada digugurkan atau kekal."

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menggesa penyokong Harimau Malaya tidak melatah selepas pasukan bola sepak negara kalah tujuh kali berturut-turut.

Khairy meminta penyokong melihat kekalahan anak buah Vingada dalam konteks menyeluruh dan memberi ruang kepada pengendali baharu itu memperbaiki prestasi pasukan.

“Kita kena lihat prestasi pasukan kebangsaan dalam konteks lebih menyeluruh. Jangan mudah beri kecaman. Prestasi mencerminkan struktur bola sepak sedia ada yang memerlukan masa untuk dibaiki.

“Memang pasukan senior dihantui struktur yang bertahun lama. Bukan senior tidak bagus, tapi mereka mencerminkan struktur pengurusan tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas dialog TN50 di Menara Felda hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau cukup yakin perancangan jangka panjang menerusi pembangunan peringkat akar umbi FAM bakal mengubah prestasi pasukan pada masa akan datang.

“Dari segi pembangunan bola sepak hari ini, prestasi kejayaan yang dicatat oleh pasukan bawah umur 15, 18 dan 23 lebih cerah, FAM sedang usahakan sistem yang lebih tersusun supaya lebih ramai lagi peringkat akar umbi main dalam liga dengan lebih tersusun.

“Saya faham bila kalah, ramai kecam dan kritik, tapi ini projek jangka panjang. Perlu ada semangat nasional untuk beri sokongan.

"Jangan tahun ini kurang berjaya, terus hukum kerana pasukan bola sepak negara banyak kejayaan bawah umur. Ada sinar di hujung terowong sukan bola sepak negara. Jangan cepat menghukum dengan apa yang berlaku.

“Kena lihat pada masalah dari segi konteks lebih luas, tindakan cepat tukar jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah 100 peratus kerana masalah ini sudah lama,” kata Khairy.