Neymar percaya ia kini lebih mudah untuk beraksi bersama Barcelona selagi anda berusaha keras.

Penyerang Brazil itu menandatangani kontrak baru semalam, untuk terus kekal berada di Camp Nou sehingga 2021, dan kemudiannya mengakui bahawa dia mempunyai sedikit keraguan ketika mula-mula tiba pada 2013.

Bagaimanapun, setelah menetap di Sepanyol, Neymar gembira kerana masa depannya di Barca kini terjamin.

"Kini lebih mudah untuk menjadi pemain Barca tetapi anda perlu bekerja keras," kata pemain berusia 24 tahun itu kepada TV Barca.

"Sebelum menyertai pasukan, saya sudah tahu bahawa kelab ini merupakan sebuah kelab yang besar. Mempunyai barisan pemain yang menakjubkan dan ia memberikan sedikit keraguan kepada saya sebelum datang ke sini.

"Tetapi apabila memasuki bilik persalinan, saya melihat semua pemain begitu merendah diri, rakan-rakan sepasukan kini menjadi kawan baik. Bagi saya, ia merupakan satu kejutan kerana semua itu telah membantu saya untuk menyesuaikan diri bersama pasukan."

Neymar kini dalam misi untuk mencipta sejarah sebagai pemain Barca yang terhebat, dan telah mengenal pasti beberapa bintang terdahulu untuk dijadikan contoh.

"Saya mahu diingati oleh pasukan seperti bekas pemain dari Brazil yang lain," tambahnya.

"Apabila saya datang ke Barca, semua orang memberitahu saya tentang Ronaldinho, Rivaldo, Ronaldo dan Romario."