Kimmich faham hajat Muller suarakan hasrat perpindahan 

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2019
Kimmich faham hajat Muller suarakan hasrat perpindahan 
Bintang Bayern Munich, Joshua Kimmich, memahami kekecewaan yang disuarakan rakan sepasukannya, Thomas Muller, yang mempertimbangkan masa depannya dengan juara Bundesliga itu.

Pemain berusia 30 tahun itu sedang mempertimbangkan hala tujunya di Bayern berikutan belum diturunkan dalam sebarang perlawanan liga di bawah kendalian Niko Kovac sejak seri dengan RB Leipzig, bulan lalu.

Pemain veteran itu melaungkan kesediaan untuk berhijrah, Januari depan, apatah lagi sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

Ditanya mengenai Muller selepas Jerman seri 2-2 dengan Argentina dalam perlawanan persahabatan, awal pagi tadi, Kimmich memberitahu wartawan: "Yang pertama, seorang tokoh akan meninggalkan kelab ini, khususnya buat peminat.

"Saya tahu hanya FC Bayern di hati Thomas Muller. Tanpanya kelab ini tidak akan berada di sini. Dia sering beraksi dengan baik apabila dimasukkan. Dia mencipta gerakan gol, begitu juga dalam perlawanan terdahulu. 

"Seingat saya, ketika menentang Cologne atau Mainz, dia juga mencipta dua bantuan gol selain mencetak satu jaringan. 

"Kita semua tahu bahawa dia mempunyai kualiti yang sukar dikekang pihak lawan."

Tambah Kimmich: "Saya tidak tahu sama ada dia mahu pergi atau tidak, saya dapat memahami situasinya yang inginkan beraksi. Saya tahu bagaimana perasaannya apabila duduk di bangku simpanan.

"Ketika di bawah (bekas pengurus) Carlo Ancelotti, saya juga beberapa kali diletakkan di bangku simpanan. Adalah sesuatu yang normal apabila pemain tidak berpuas hati. Dia mendakwa bahawa dia tidak seharusnya dalam situasi tersebut."

Bakat Muller digilap daripada sistem belia Bayern pada 2008 dan sejak itu, dia telah memenangi lapan gelaran Bundesliga bersama gergasi Bavaria itu. 

Dalam tempoh itu, dia sempat menjulang Liga Juara-Juara (UCL), Piala Super UEFA, Piala Kelab Dunia FIFA, DFB-Pokal dan gelaran Piala Super-DFL.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen