Peningkatan ketara diperlukan Bayern Munich selepas Niko Kovac dipecat selaku pengurus, kata Joshua Kimmich.

Bayern mengucapkan selamat tinggal buat Kovac -- yang mengemudi pasukan itu menjuarai Bundesliga dan DFB-Pokal musim lalu -- susulan kekalahan 5-1 di tangan Eintracht Frankfurt, Sabtu lalu tatkala ia menjadi keputusan terburuk sejak April 2009.

Hansi Flick akan mengendalikan pasukan menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Olympiacos di laman sendiri, awal pagi esok serta bertandang ke Borussia Dortmund, Sabtu ini sambil presiden, Uli Hoeness, berharap dapat melihat perubahan pasukan sebelum tempoh rehat antarabangsa.

Bayern kini menduduki tangga keempat Bundesliga, empat mata ketinggalan kepada pendahulu, Borussia Monchengladbach, tetapi mampu mengesahkan tempat dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara jika menewaskan Olympiacos.

Kimmich sedar Flick bakal berdepan tugas sukar dalam tempoh singkat yang dimiliki, jadi dia dan rakan sepasukannya perlu ke tahap sebenar untuk mengubah keadaan.

"Apabila kelab bertukar jurulatih, ia juga bermakna pemain telah gagal. Kami perlu menyoal diri sendiri dan meningkatkan permainan serta meraih kemenangan," katanya.

"Tidak mudah buat Hansi kerana dia tidak memiliki masa yang banyak. Kami cuti semalam dan hari ini menyambung latihan. Sudah tentu dia menyedari beberapa perkara tetapi esok adalah aksi seterusnya.

"Tanggungjawab utama untuk keputusan perlawanan akan datang bergantung kepada kami. Tiada lagi alasan buat setiap pemain. Alasan menyalahkan jurulatih tidak lagi wujud.

"Sudah tentu anda mahu ketua jurulatih kekal dalam tempoh yang lama kerana ia bermaksud anda berjaya. Kini, jika pasukan bermain dengan buruk, jurulatih adalah kambing hitam. Jika anda bermain dengan buruk, anda akan berada di bangku simpanan.

"Hansi seorang jurulatih yang bagus, memberikan kenyataan yang jelas kepada pasukan. Dia telah mengadakan beberapa mesyuarat dalam pasukan apabila bercakap.

"Kami harus bangkit kerana kami yang beraksi di atas padang. Ia tidak akan mudah."