Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan aksi persahabatan terakhir dengan Syria di Jiangsu, China, pada 5 Januari ini akan memberi gambaran sebenar kekuatan barisan negara dalam saingan Kejohanan AFC B-23, bulan depan.

Kim Swee ketika dihubungi dalam kem latihan skuad negara di Mokpo, Korea Selatan, hari ini mengakui berpuas hati dengan kemampuan barisan negara dalam tiga aksi ujian sebelum ini.

Baginya, anak buahnya itu telah meningkatkan usaha memperbaiki kesilapan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan di Mokpo dan ia satu perkembangan positif.

"Saya percaya pengalaman dan pendedahan di Korea amat membantu.

"(Kemudian) kami akan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan bertemu Syria dan saya percaya aksi itu akan menggambarkan kekuatan sebenar kami," katanya.

Dalam masa sama, Kim Swee mengakui bukan mudah buatnya menamakan senarai akhir 23 pemain untuk aksi pusingan akhir nanti.

Namun, selepas mengambil kira beberapa faktor, Kim Swee menggugurkan Raphi Azizan Mariappen, Ahmad Khairil Anuar Zamri dan K. Thivandaran.

"Beberapa faktor telah diambil kira termasuk kecederaan.

"Beberapa nama yang digugurkan (perlu sentiasa bersedia) jika berlakunya kecederaan sebelum aksi sebenar kami berlangsung pada 10 Januari nanti," katanya lagi.

Barisan 23 pemain akan berlepas dari Seoul, Korea Selatan, ke Nanjing, China esok untuk perlawanan persahabatan terakhir bertemu Syria di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing.

Senarai penuh 23 pemain:

PENJAGA GOL
1. HAZIQ NADZLI
2. IFWAT AKMAL CHE KASSIM
3. AHMAD SYIHAN HAZMI MOHAMED

PENYERANG
4. SAFAWI RASID
5. HADI FAYYADH ABDUL RAZAK
6. AKHYAR RASHID
7. N. THANABALAN
8. JAFRI FIRDAUS CHEW

PERTAHANAN
9. DOMINIC TAN
10. ADAM NOR AZLIN
11. SHIVAN PILLAY ASOKAN
12. ADIB ZAINUDIN
13. IRFAN ZAKARIA
14. SYAZWAN ZAIPOL
15. MATTHEW DAVIES

PEMAIN TENGAH
16. SYAMER KUTTY ABBA
17. NOR AZAM ABDUL AZIH
18. R. KOGILESWARAN
19. SYAZWAN ANDIK ISHAK
20. DANIAL AMIER NORHISHAM
21. NIK AKIF SYAHIRAN NIK MAT
22. TOMMY MAWAT BADA
23. SYAHMI SAFARI