Kim Swee yakin pemain remaja mampu berjaya di luar negara

Oleh Staff Writer 8 Julai 2020 176
Kim Swee yakin pemain remaja mampu berjaya di luar negara
Ketua Unit Belia Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee, menganggap pemain remaja tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Dia memberi pandangan terhadap keputusan bekas produk Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) itu yang bakal berhijrah ke Belgium bagi menyertai kelab K.V. Kortrijk dalam satu wawancara khas bersama Nadi Arena di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, hari ini.

"Apabila pemain muda kita bukan saja Luqman Hakim yang didekati oleh kelab-kelab besar di Eropah, Korea Selatan ataupun Jepun. Mereka harus mengambil kesempatan ini dan kita tahu Luqman Hakim tidak beraksi secara kompetitif kerana masalah COVID-19.

"Mereka sudah kembali berlatih sejak dua minggu lalu dan menerusi latihan-latihan yang dilaluinya sebelum bertolak ke Belgium, saya percaya dia mampu lakukan yang terbaik ketika berada di sana.

"Yang penting, Luqman Hakim harus menyesuaikan suasana bukan saja daripada segi latihan tapi di luar padang juga dan seandainya dia fokus apa yang dikehendakinya yang dikatakan ingin ke Eropah, saya percaya Luqman Hakim mampu melakukan.

"Kita tahu dia merupakan salah satu bakat yang cukup baik untuk negara pada depan," katanya yang memberi tumpuan kepada program pembangunan.

Bekas jurulatih Harimau Muda berusia 50 tahun itu turut berkongsi pandangannya kepada Astro Arena sambil menaruh kepercayaan kepada Brad Maloney yang akan skuad B-19 dalam pusingan akhir Kejohanan AFC di Uzbekistan, Oktober depan.

"Brad Maloney mungkin sudah berbincang dan menasihati Luqman Hakim. Dia merupakan seorang pemain yang baik bukan saja dalam padang malah (sanggup) mendengar nasihat," tambahnya.

Begitupun, tiada jaminan automatik kepada mana-mana pemain apabila beliau menegaskan elemen prestasi menjadi keutamaan untuk menyarung jersi kebangsaan.

"Kami tidak boleh mendengar apa jua tuntutan yang melebih-lebih daripada pemain tempatan manakala kalau kami memanggil pemain daripada luar negara, mereka tidak boleh mendapat keistimewaan.

"Bagi saya, semua pemain harus diberikan layanan sama rata, tidak ada sesiapa pun boleh menuntut jurulatih untuk beraksi di posisi yang dikehendaki mereka dan ia terpulang kepada jurulatih tersebut.

"Dalam bola sepak, bukan sahaja kejayaan tetapi banyak aspek yang perlu difikirkan sebelum kita berjaya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen