Kim Swee uji pemain berdepan Melaka

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2017 89
Kim Swee uji pemain berdepan Melaka
Pengendali skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, akan menguji semua pemainnya bagi membentuk beberapa kombinasi dalam perlawanan persahabatan menentang Melaka di Stadium Shah Alam esok untuk pemilihan 26 pemain ke kem latihan pusat seterusnya di Mokpo, Korea Selatan dan Nanjing, China.

Pertemuan menentang Melaka akan menjadi ujian percubaan kedua buat skuad muda negara untuk persiapan menghadapi Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 2018 selepas bertemu PJ Rangers, Sabtu lalu.

Sememangnya, ia menjadi aksi penting buat semua 29 pemain untuk merebut tempat dalam skuad seterusnya yang akan berguru di Korea Selatan dan China dari 17 Disember hingga 6 Januari depan.

Perkara itu diakui Kim Swee yang menuntut aksi ampuh daripada anak buahnya ketika berdepan skuad Melaka, esok.

"Perlawanan berdepan Melaka adalah penilaian terakhir sebelum mendapatkan 26 pemain yang akan dibawa ke Korea Selatan," katanya.

Kim Swee dijangka mempertaruhkan barisan terbaiknya untuk pertemuan itu.

Pemain-pemain seperti Adam Nor Azlin dan Syamer Kutty Abba adalah antara taruhan utama selepas tidak diturunkan bertemu PJ Rangers tempoh hari.

"Saya berharap setiap pemain dapat bermain dengan baik kerana berdepan Melaka adalah perlawanan terakhir sebelum ke Korea," kata Adam.

"Kami telah menjalani latihan yang baik selama dua minggu dan kami perlu mempamerkan persembahan yang positif buat Kim Swee," kata Syamer.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen