Seramai 26 pemain melapor diri pada hari pertama latihan pusat skuad B-23 tahun negara hari ini bagi menghadapi Kejohanan AFC di China, Januari depan.

Bagaimanapun, jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, tidak terlalu gusar tanpa empat pemain -- Syafiq Ahmad, Mattew Davies, Amierul Hakimi Awang dan Tommy Mawat Bada -- yang tidak hadir.

Davies sedang menjalani rawatan pemulihan buku lali di Australia, Syafiq akan berkahwin pada Ahad ini, tatkala penerbangan Amierul dan Tommy ke Kuala Lumpur pula tergendala.

Kim Swee berkata Amierul dan Tommy dijangka hadir dalam latihan esok manakala Davies dan Syafiq akan bersama pasukan pada Isnin depan.

"Saya percaya semua akan ada pada Isnin depan, terutama Davies dan Syafiq, manakala saya percaya Amierul dan Tommy akan melaporkan diri esok," katanya.

"Dalam pra-musim ini, kita tahu pemain berehat begitu lama di mana liga berakhir pada awal bulan lalu. Jadi, kami perlu meneliti kecergasaan mereka dan pada masa yang sama, kami tidak perlu terburu-buru untuk melihat mereka cergas dalam masa yang singkat."

Dalam pada itu, kem latihan kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit di bahagian serangan.

Kehadiran penyerang skuad B-19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, dijangka memberi saingan kepada Jafri Firdaus Chew dan N.Thanabalan.

"Kali ini agak sengit kerana pemain skuad bawah 19 tahun turut menyertai pasukan. Semua berebut tempat. Jadi, kami perlu melakukan dengan terbaik," kata Jafri.