Kim Swee sambung kontrak dua tahun 

Oleh Shaiful Shamsudin 11 November 2017 2952
Kim Swee sambung kontrak dua tahun 
Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan kontraknya dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi dan secara tidak langsung menamatkan teka-teki mengenai kedudukan sebenarnya. 

Kedudukan Kim Swee menjadi tanda tanya sejurus berakhirnya Sukan SEA 2017, Ogos lalu, apabila kontraknya berakhir pada 31 Disember depan. 

Walaupun FAM ada menyatakan hasrat untuk mengekalkan khidmatnya, tiada sebarang kepastian berhubung perkara itu sehinggalah perjumpaannya dengan presiden badan induk itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di Johor Bahru, Khamis lalu. 

Selain menetapkan program latihan untuk skuad B-23 negara, Kim Swee juga mendapat khabar gembira apabila diberi lanjutan kontrak sehingga 2019. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak FAM, presiden, Tunku Ismail, kerana terus memberikan kepercayaan kepada saya dan membantu saya melanjutkan kursus kejurulatihan selepas perbincangan kami tempoh hari berjalan dengan positif," katanya. 

Perkembangan itu tampak menjadi tonik terbaik buat Kim Swee menjelang Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan. 

Selain menjalani latihan di tanah air, skuad muda negara juga akan ke Korea Selatan dan China sebagai persediaan mantap untuk menghadapi cabaran getir itu. 

"Ini semua amat penting, persiapan kami lebih teratur dan rapi. Semua pemain harus merebut peluang ini kerana bukan mudah untuk bermain di peringkat Asia," katanya.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen