Kekurangan pilihan pemain berkualiti di posisi pertahanan kiri tidak menggusarkan jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, yang menaruh keyakinan tinggi terhadap dua tonggak muda, Nazirul Naim Che Hashim dan Ahmad Khuzaimi Piee.

Walaupun merupakan tonggak utama skuad bawah 23 tahun sebelum ini, Nazirul Naim dianggap antara muka baharu dengan hanya mempunyai tujuh penampilan bersama skuad negara selain sering dihantui masalah kecederaan.

Sebaya dengan Nazirul Naim, Khuzaimi pula menyarung jersi antarabangsa buat kali pertama apabila dimasukkan selaku pemain gantian menentang Afghanistan, 11 Oktober lalu.

Namun, Kim Swee mengakui itu pilihan terbaik yang dimilikinya ketika ini bagi membantu cabaran negara dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki.

"Kita tahu Nazirul telah bermain banyak kali di peringkat tinggi dan hanya Khuzaimi belum didedahkan pada peringkat antarabangsa. Bagi saya, mereka ini mampu untuk mengisi slot pada bila-bila masa.

"Hanya masa yang akan menentukan bila mereka akan terus konsisten di peringkat antarabangsa," kata Kim Swee.

Tiada sebarang latihan diadakan pada hari ini, dengan pemain sekadar melakukan sesi pemulihan di kolam renang.

Kim Swee menjelaskan ia sebagai persediaan skuad menghadapi sesi latihan yang akan bermula jam 3 petang esok.

"Selepas ini, pada minggu depan, kami bukan sahaja akan berlatih pada pukul 3 petang tetapi kami mempunyai enam sesi, pagi-petang selama tiga hari berturut-turut.

"Jadi, ia satu jadual latihan yang amat padat, di mana mereka harus bersiap sedia."

Malaysia yang tewas kepada Papua New Guinea, Jun lalu, akan sekali lagi bertemu skuad itu dalam aksi persahabatan, 14 November ini.

Perlawanan itu akan disiarkan secara langsung di Astro Arena saluran 801 dan 802 HD bermula dengan pra-rancangan pada jam 2.30 petang.

Skuad negara bersama tujuh lagi negara rantau Asia Tenggara akan beraksi dalam Piala AFF Suzuki 2016 di Filipina dan Myanmar, dari 19 November hingga 17 Disember ini.