Ketua jurulatih skuad bola sepak B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, memberi peringatan kepada Syafiq Ahmad untuk segera melaporkan diri ke kem latihan pusat jika enggan disingkirkan.

Setakat ini, hanya Syafiq yang masih belum melaporkan diri tatkala pemain pertahanan, Matthew Davies, sudah kembali berlatih bersama pasukan, hari ini.

Memikirkan masa kian suntuk, apatah lagi bagi aksi persahabatan berdepan PJ Rangers pada 9 Disember ini, Kim Swee mengharapkan penyerang muda Kedah itu dapat menghadirkan diri ke kem latihan pusat dalam masa terdekat memandagkan majlis perkahwinannya juga telah selesai.

Sekiranya gagal, tidak mustahil dia akan disingkirkan daripada skuad dengan serta-merta.

“Saya percaya pemain-pemain dalam skuad telah berlatih dalam tempoh yang lama dan untuk mendapatkan Syafiq kembali dalam tahap kecergasannya agak sukar.

"Kami akan berbincang terlebih dahulu mengenai tindakan selanjutnya,” kata Kim Swee.

Davies yang baru melapor diri hari ini hanya melakukan latihan ringan kerana masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha.

Kapten Pahang itu bagaimanapun percaya tahap kecergasannya mampu pulih seperti biasa dengan kadar segera untuk kembali memperkuatkan pasukan sebelum diuji dalam aksi persahabatan.

“Kecergasan saya sedang beransur pulih, saya sedang berusaha untuk kembali berlatih bersama pasukan minggu depan,” kata Davies.