Jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak rela menyaksikan kesilapan besar anak buahnya yang melepaskan gol awal ketika menentang Papua New Guinea, berulang dalam saingan Piala AFF Suzuki, 19 November-17 Disember ini.

Masalah konsentrasi pemainnya begitu ketara apabila dikejutkan dengan jaringan awal dalam aksi persahabatan menentang skuad itu di Stadium Shah Alam, hari ini.

Tegas Kim Swee, hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia secara jelas membuka peluang buat pihak lawan mencari kelebihan.

"Saya harap selepas ini kami tidak dibolosi pada awal perlawanan. Saya percaya kalau kami kekal tanpa bolos, sudah tentu kami lebih baik," katanya.

Kim Swee turut melabelkan aksi hari ini sebagai 'belum sempurna', namun kemenangan ke atas Papua New Guinea memberi petanda baik sebelum berhadapan aksi sebenar dalam saingan Piala AFF Suzuki nanti

Dalam pada itu, pencetus jaringan pertama negara, Ahmad Hazwan Bakri, mengakui semakin selesa dengan pasangannya di jentera serangan, Darren Lok.

"Apa yang jurulatih rancang dengan meletakkan saya dengan Lok di depan, membuahkan keserasian antara satu sama lain. Kami benar-benar bersefahaman," kata Hazwan.

Skuad negara meraih kemenangan 2-1 ke atas Papua New Guinea selepas tewas 2-0 kepada skuad itu di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, Jun lalu.