Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, menuntut corak permainan lebih berkesan daripada anak buahnya berbanding dua aksi terdahulu untuk meraih keputusan positif menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam, malam esok.

Pasukan kebangsaan mempamerkan kebangkitan daripada kekalahan memalukan 0-3 kepada Indonesia di Solo pada awal bulan lalu, apabila seri tanpa jaringan menentang Singapura, Jumaat lepas.

Namun, corak permainan skuad negara mendapat kritikan kerana tampak tiada hala tuju ketika melakukan gerakan ke kubu lawan.

Menyedari hakikat itu, Kim Swee mahu perubahan secara menyeluruh daripada pemainnya bagi mendapatkan tonik terbaik sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki, bulan depan.

“Saya akan menggunakan strategi yang diperlukan untuk perlawanan ini. Saya berharap pemain menyedari apa yang perlu dilakukan, terutama sekali untuk mendapatkan keputusan.

"Bukan setakat itu, corak permainan yang baik juga harus dipamerkan oleh pemain,” jelas Kim See.

Sementara itu, jurulatih Afghanistan, Petar Segrt, mengambil pendekatan berhati-hati apabila menyifatkan Malaysia adalah lawan yang kuat walaupun pasukannya berjaya menewaskan Singapura dalam perlawanan sebelum ini.

“Bagi kami, Malaysia lawan yang kuat.

"Kami tidak pernah berada di tahap ketika ini. Saya sudah 11 bulan mengendalikan skuad kebangsaan Afghanistan dan kami berada dalam situasi amat baik ketika ini dengan pemain muda semakin meningkat naik,” kata Segrt.

Perlawanan persahabatan menentang Afghanistan turut menjadi medan terakhir bagi pemain skuad kebangsaan untuk memikat hati Kim Swee bagi mendapatkan tempat dalam skuad Piala AFF Suzuki 2016.

Kim Swee yang menyenaraikan lima muka baharu dalam senarai 30 pemain pada 21 September lepas, mahu memberikan peluang kepada sebanyak mana pemain yang boleh, sebelum memutuskan senarai 25 pemain untuk kem latihan terakhir pada bulan hadapan.

Pasukan Harimau Malaysia kemudian dijangka mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 November di Malaysia, sebelum Kim Swee memuktamadkan senarai 23 pemain untuk Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember ini.