Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, memuji prestasi pemain tengah Selangor, S. Veenod, ketika beraksi dalam final Piala Malaysia kelmarin walaupun pasukannya tumpas 6-5 menerusi sepakan penalti kepada Kedah.

Bagi Kim Swee, Veenod memainkan peranan penting selaku pemain tengah Selangor dalam menangani ancaman jentera tengah Kedah, yang diterajui Liridon Krasniqi dan Baddrol Bakhtiar.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam itu, bekas pemain USM FC berkenaan jelas membantu benteng tengah sepanjang 90 minit perlawanan selain sentiasa memberi ruang buat Selangor bangkit berdepan Kedah biarpun akhirnya terpaksa akur dengan kemenangan Lang Merah.

"Veenod menunjukkan satu tahap yang cukup tinggi. Walaupun dia tidak menonjol, apa yang dilakukan oleh Veenod di bahagian depan barisan pertahanan dan di bahagian belakang barisan serangan, membantu pergerakan pasukan Selangor yang positif," katanya.

Pujian yang dilontarkan Kim Swee memberi bayangan Veenod bakal berada dalam senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF Suzuki 2016, yang akan berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember ini.

Dalam pada itu, Kim Swee turut berpuas hati dengan kelibat seorang lagi pemain Selangor, Ahmad Hazwan Bakri, yang meraih gol penyamaan untuk Selangor.

Kim Swee berkata Hazwan kini semakin menghampiri prestasi terbaiknya dan ia satu perkembangan positif buat barisan negara ke Piala AFF Suzuki.

"Hazwan adalah pemain yang cukup konsisten di bahagian serangan. Walaupun dibarisi ramai pemain import dan Hazwan juga kurang menjaringkan gol tetapi prestasinya amat penting.

"Permainannya konsisten dan banyak melakukan pergerakan-pergerakan yang cukup berbahaya," tambahnya.

Skuad negara akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 November ini di Stadium Shah Alam.