Pertahanan kiri Melaka, Ahmad Khuzaimi Piee, berjanji tidak akan menghampakan kepercayaan yang diberikan Datuk Ong Kim Swee jika ditugaskan untuk beraksi bersama skuad negara dalam Piala AFF Suzuki AFF, dari 19 November-17 Disember ini.

Kehadiran Khuzaimi di dalam pasukan kebangsaan bukanlah satu kejutan ketika Kim Swee kekurangan pilihan pemain di pertahanan kiri.

Biarpun sekadar beraksi dalam saingan Liga Perdana, pemain berasal dari Ayer Keroh, Melaka ini tidak menyangka mampu meraih perhatian Kim Swee.

“Saya agak terkejut dengan panggilan ini kerana rata-rata pemain yang dipilih adalah dari Liga Super,” kata Khuzaimi.

Jujur mengakui masih mentah di pentas bola sepak antarabangsa, dia berharap mampu menyerap tekanan jika diberikan peluang bermain dalam kejohanan itu.

Malah, sebagai muka baharu, Khuzaimi sedia untuk mempelajari sesuatu daripada tonggak berpengalaman pasukan negara.

“Seperti yang kita ketahui, rentak permainan dalam Liga Malaysia dan pentas antarabangsa berbeza. Saya berpendapat saingan dalam Piala AFF Suzuki bakal menguji kepantasan permainan kami.” katanya.

Aksi pemanas badan bakal menyaksikan skuad negara berdepan Papua New Guinea dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, jam 3 petang, Isnin ini.

Ia akan disiarkan secara langsung di Astro Arena saluran 801 dan 802 HD.