Pemain tengah Juventus, Sami Khedira, dalam keraguan untuk kunjungan aksi Liga Juara-Juara (UCL) ke Manchester United selepas dilanda masalah otot paha.

Pemain antarabangsa Jerman itu dipinggirkan daripada skuad Juve untuk pertembungan Serie A dengan Udinese hujung minggu ini selepas menjalani pemeriksaan perubatan berkaitan masalah itu.

"Ujian terbaru menunjukkan bahawa Sami Khedira mengalami koyakan di otot paha kirinya," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

"Pemain tengah Jerman itu telah memulakan terapi dan akan menjalani pemeriksaan selanjutnya minggu depan."

Kecederaan itu mencetuskan keraguan terhadap khidmat Khedira untuk pertemuan dengan United di Old Trafford pada 23 Oktober ini, dengan aksi timbal balik di Turin pada 7 November.

Dia juga mungkin berisiko terlepas perlawanan Serie A menentang Genoa, Empoli dan Cagliari, manakala juara bertahan itu akan berhadapan dengan AC Milan pada 11 November.

Pemain berusia 31 tahun itu telah membuat enam penampilan dalam semua pertandingan musim ini dengan menghasilkan satu gol.