Pemain tengah Juventus, Sami Khedira, menegaskan kekalahan 3-1 kepada Genoa dalam Serie A, Ahad lalu, tidak akan menjejaskan perjalanan skuad itu musim ini, namun memberi amaran agar pasukan itu meningkat mutu permainan mereka.

Juve gagal menandingi keampuhan Genoa di Stadio Luigi Ferraris apabila ketinggalan 3-0 pada babak pertama sebelum Miralem Pjanic meledak gol sagu hati di hujung perlawanan.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri masih mendahului saingan liga dengan kelebihan empat mata ke atas AS Roma dan AC Milan, namun Khedira mahu The Bianconerri mula melakar kemenangan dengan penuh gaya -- bermula dengan aksi di laman sendiri berdepan Atalanta pada Sabtu.

"Semua orang tahu kami sepatutnya beraksi dengan lebih baik pada 30 minit pertama berdepan Genoa.

"Namun, apa yang berlaku adalah normal kerana ia akan bertindak sebagai pengajaran kepada pemain untuk bermain lebih baik," Khedira memberitahu Sky Sport Italia.

"Walaupun cara mendapatkan tiga mata itu tidak penting, namun kadang-kala berjaya melakukannya dengan penuh gaya adalah langkah yang menjadi impian kami. Kami memiliki skuad yang kuat, terutamanya daripada aspek tatktikal.

"Kami hanya menyasarkan kemenangan Sabtu ini dan untuk melakukannya, kami perlu mengasak dari minit pertama. Beraksi di laman sendiri memberi kami kelebihan tetapi tidak bermakna kami tidak akan mengambil langkah berjaga-jaga."