Sami Khedira yakin dia dapat merealisasikan impian dan memenangi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Juventus dalam beberapa tahun akan datang.

Juve menguasai Serie A dengan lapan kemenangan gelaran berturut-turut, tetapi kejayaan terakhir mereka dalam pertandingan kelab utama Eropah hadir pada tahun 1996.

Pasukan gergasi Itali itu kini melangkah ke pusingan 16 UCL musim ini -- kalah dalam perlawanan pertama kepada Lyon 1-0 -- sebelum saingan ditangguh ekoran wabak coronavirus.

Khedira, yang tiba di Juventus pada tahun 2015, mengatakan bahawa dia ingin membantu pasukan untuk membawa pulang trofi UCL ke Turin.

"Impian saya adalah memenangi UCL bersama Juventus. Hampir tiga atau empat tahun yang lalu, kami sangat hampir menjuarainya ketika beraksi di final menentang Real Madrid.

"Saya berasakan dapat memenangi gelaran ini bersama Juventus dalam beberapa tahun ke depan. Pada pendapat saya, ini bukan hanya impian saya, tetapi juga impian setiap Juventini."
Khedira membantu Real memenangi UCL pada tahun 2014 dan beberapa lagi piala lain yang diraih bersama gergasi LaLiga itu.

Pemenang Piala Dunia bersama Jerman pada tahun yang sama, pemain tengah itu mengingati waktunya di Santiago Bernabeu.

"Ia sangat mengagumkan. Saya menghabiskan masa yang tidak dapat dilupakan di sana. Kami memenangi pelbagai gelaran seperti liga, piala liga, dan juga UCL," kata Khedira.

"Kami mempunyai pasukan yang sangat kuat dengan watak yang sangat kuat. Itulah sebabnya saya tidak akan melupakan masa yang hebat ini dan saya masih peminat kelab besar ini.

"Sebab itu, Hala Madrid!"