Khedira impikan perpindahan ke EPL, puji Mourinho

Oleh Muzaffar Musa 20 November 2020 2333
Khedira impikan perpindahan ke EPL, puji Mourinho
Sami Khedira mahu menyempurnakan impian zaman kanak-kanaknya untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hampir pasti meninggalkan Juventus.

Pemain tengah Jerman itu tidak menjadi sebahagian perancangan Andrea Pirlo di Juve dan pemenang Piala Dunia itu berkemungkinan akan meninggalkan pasukan itu Januari ini.

Khedira menafikan bahawa dia enggan menandatangani kesepakatan meninggalkan juara Serie A itu tetapi bersedia untuk meninggalkan pasukan berkenaan dan liga divisyen utama England merupakan destinasi pilihannya.

"Ketika saya masih kanak-kanak, ia sentiasa menjadi impian saya untuk menjadi pemain EPL," kata pemain berusia 33 tahun itu, yang kontraknya akan tamat hujung musim ini, kepada Sky Germany.

"Saya amat gembira dan berpuas hati dengan perjalanan karier saya sehingga ke tahap ini tetapi masih ada sesuatu yang belum lengkap kerana saya sentiasa mengimpikannya dan ia tidak pernah menjadi kenyataan -- untuk menjadi sebahagian daripada EPL.

"Saya menonton terlalu banyak perlawanan EPL sejak kecil, sehingga kini saya masih mengikuti EPL.

"Saya sentiasa gembira apabila pasukan yang saya wakili bertemu pasukan Inggeris dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Suasananya, gaya dan idea bola sepaknya sentiasa mengagumkan saya.

"Jika boleh, ia pasti akan menjadi impian terbesar (menjadi kenyataan) dan penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada EPL," katanya.
 
Walaupun tidak memberi sebarang gambaran mengenai kelab yang mahu disertainya, Khedira memuji pengurus Tottenham, Jose Mourinho, yang penah membimbingnya di Real Madrid satu ketika dahulu.

Bercakap mengenai rasa hormatnya kepada pengurus berbangsa Portugis itu, Khedira berkata: "Ia kerana perwatakannya, dia sentiasa jujur, berterus terang, jelas dengan pemikirannya dan jurulatih yang hebat.

"Ramai berkata dia terlalu angkuh tetapi dia seorang pemenang, dia seorang juara. Sebab itulah dia selalu menyerlah."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen