Tiada masalah buat penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan bola rasmi pertandingan Piala AFF 2018 walaupun mengakui bola itu mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan bola yang biasa digunakan sebelum ini.

Skuad kebangsaan sudah beberapa hari menjalani latihan menggunakan bola rasmi berkenaan yang dibekalkan oleh salah satu jenama sukan yang berpangkalan di Thailand.

Terdapat sedikit perbezaan, khususnya daripada segi trajektori bola itu yang dapat mengelirukan penjaga gawang.

Bagaimanapun, Khairul Fahmi menjelaskan dia serta dua lagi penjaga gol, Farizal Marlias serta Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, telah menyesuaikan diri dengan baik sambil dibantu jurulatih penjaga gol negara, Azmin Azram Abdul Aziz.

"Perbezaannya memang ketara berbanding bola yang biasa digunakan dalam liga tempatan.

"Ia lebih menyukarkan buat penjaga gawang, namun tempoh yang diberikan untuk latihan sudah mencukupi dan kami sudah mula menyesuaikan diri," kata Khairul Fahmi.

Pandangan sama turut disuarakan pertahanan negara, Shahrul Saad.

Jelasnya, setiap pemain kini sudah semakin selesa menggunakan bola berkenaan walaupun mengakui alami sedikit kesukaran sebelum ini.

"Bola ini lebih berat berbanding bola biasa, namun itu bukan alasan kerana kami sudah menggunakannya selama beberapa hari dan sudah mula rasa selesa menggunakannya," kata Shahrul.