Penjaga gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat, memohon maaf kepada semua pihak ekoran kegagalan Harimau Malaysia melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2016.

"Saya kecewa. Kami telah cuba yang terbaik tetapi saya telah mengecewakan rakan sepasukan kerana saya bolos juga di minit akhir.

"Jadi, saya memohon maaf kepada rakan sepasukan dan pihak pengurusan," katanya selepas tamat perlawanan menentang skuad tuan rumah, Myanmar, malam tadi.

Dalam perlawanan terakhir saingan Kumpulan B di Stadium Thuwanna itu, Malaysia tewas 0-1, menyaksikan skuad negara tersingkir daripada Piala Suzuki AFF selepas mengalami dua kekalahan daripada tiga perlawanan.

Sementara itu, pemain pertahanan, Ronny Harun, mengakui kegagalan melunaskan peluang dalam perlawanan malam tadi menjadi punca skuad negara tewas.

"Kami mendapat beberapa peluang tetapi kami gagal menjaringkan gol, sama seperti ketika berdepan Vietnam tempoh hari.

"Inilah bola sepak. Apabila kita gagal membuat jaringan, pihak lawan pula yang berjaya membuat penyudah."

Malaysia tewas kepada Myanmar dan Vietnam masing-masing 0-1, selepas mengalahkan Kemboja 3-2 dalam perlawanan pertama.