Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersedia menghadapi risiko kemungkinan Telekom Malaysia (TM) Unifi menarik diri daripada menjadi penaja utama Liga Malaysia tetapi tetap optimis situasi berkenaan tidak berlaku berdasarkan komitmen jangka panjang yang dimeterai sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam, berkata pihaknya bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang dijangka berlaku.

Namun, beliau cukup positif TM Unifi tidak akan menarik diri kerana selain soal kontrak, kepentingan bola sepak selaku sukan milik rakyat tidak boleh diabaikan.

"Kalau ia betul terjadi disebabkan polisi terbaru daripada kerajaan atau apa sahaja, TM masih menjadi harapan. Kami masih percaya bahawa mereka tidak akan menghampakan," katanya.

Sabtu lalu, TM Unifi melalui pengurus pemasaran sukannya, Siti Farah Diba Abd Ghani,
mengakui belum pasti sama ada akan kekal menjadi penaja utama liga.

Menurutnya, segala persoalan itu hanya boleh terjawab selepas TM selaku syarikat induk melantik
CEO yang baru.

"Kami pernah mengalami situasi itu di mana dalam pembentukan MFL ketika era FMLLP. Pembentukan penswastaan liga ini menyaksikan banyak perkara yang tidak pasti dan sukar berlaku disebabkan pertukaran yang dilakukan.

"Perubahan pengurusan adalah sesuatu yang sukar."