BORUSSIA MONCHENGLADBACH 2 BAYERN MUNICH 1

Hansi Flick menyalahkan ketumpulan jentera serangan menjadi punca Bayern Munich rebah 1-2 di tangan Borussia Monchengladbach yang menyaksikan pendahulu Bundesliga itu melebarkan penguasaan dengan kelebihan tujuh mata.


Bayern seolah-olah mempamerkan kebangkitan ekoran kekalahan kepada Bayer Leverkusen minggu lalu apabila mendominasi separuh masa pertama yang menyaksikan Ivan Perisic melepaskan rembatan padu untuk gol pembukaan sejurus selepas permainan bersambung.

Namun, mereka gagal mencetak gol kedua dan Gladbach, yang hanya memiliki satu percubaan tepat dalam tempoh 45 minit pertama, menyamakan kedudukan menerusi tandukan Ramy Bensebaini selepas menyambut sepakan penjuru Jonas Hofmann.

Ketidakupayaan Bayern untuk membunuh perlawanan itu kembali menghantui mereka apabila pertahanan gantian, Javi Martinez, menjatuhkan Marcus Thuram di dalam kotak penalti.

Martinez lantas dilayangkan kad kuning kedua manakala Bensebaini menyempurnakan sepakan penalti itu untuk memastikan Gladbach semakin mencengkam kedudukan puncak liga.

"Adalah penting kami beraksi dengan baik dalam setiap babak," kata pengurus sementara itu.

"Kami melakukannya dalam babak pertama dan mencipta banyak peluang.

"Sudah tentu ia menjengkelkan bahawa kami tidak memanfaatkan peluang-peluang menarik, jadi kami menawarkan peluang untuk Gladbach bangkit.

"Inilah keadaan yang sering kami hadapi sebelum ini, sama seperti Leverkusen minggu lalu. Pasukan ini mempunyai kualiti untuk menjaringkan gol.

"Sayangnya, kami tidak memanfaatkannya pada detik itu. Akhirnya, bola sepak ditentukan menerusi jaringan."

Flick pula menjelaskan Jerome Boateng perlu digantikan dengan Martinez ekoran dibelenggu masalah kecederaan.

Pengurus tuan rumah, Marco Rose, menghasilkan impak yang luar biasa sejak mengendalikan Foals tetapi dia akur bahawa Gladbach terpaksa bergantung kepada nasib dalam mencipta kemenangan keenam liga di laman sendiri itu.

"Kami melihat dua babak berbeza. Dalam separuh masa pertama, kami hampir tidak dapat menguasai bola," katanya.

"Selalunya akan ada perbezaan di antara apa yang kami ingin lakukan terhadap Bayern dan bagaimana kami melaksanakannya di lapangan.

"Kami meneruskan permainan dengan hasrat untuk merakamkan kemenangan dan kami meraih ganjarannya melalui gol sepakan penalti. Akhirnya, ia tentunya satu kemenangan yang bertuah tetapi ia membantu kami dalam soal perkembangan."