Jesus Perez tampil mempertahankan Kylian Mbappe selepas bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu sekali lagi mempamerkan penyudah berkarat ketika juara Ligue 1 berkenaan mengatasi Angers 1-0 untuk menguasi tangga teratas.

Gol sumbangan Layvin Kurzawa ketika permainan berbaki 20 minit menyaksikan juara bertahan itu menjinakkan Angers di Stade Raymond Kopa, awal pagi tadi, untuk terus bersaing sengit dengan Lyon -- pasukan kendalian Rudi Garcia tersebut berpeluang merampas semula posisi mereka sekiranya mengalahkan Metz, awal pagi esok.

PSG belum tewas dalam enam perlawanan terakhir Ligue 1 selain rekod 12 perlawanan tanpa dibolosi musim ini -- catatan terbaik berbanding pasukan lain dalam lima kancah utama Eropah.

Begitupun, Mbappe menjadi topik perbincangan pasca perlawanan apabila terus gagal menemui sentuhan pemusnah dalam empat perlawanan sebelum dikeluarkan ketika permainan berbaki 10 minit.

Penolong jurulatih PSG, Perez -- mengambil alih peranan Mauricio Pochettino yang diuji positif COVID-19 -- memuji penyerang antarabangsa Perancis itu yang telah menyumbat 12 gol dalam 16 penampilan Ligue 1 musim ini.

"Kylian berperanan penting dalam kemenangan ini," kata Perez kepada wartawan.

"Dia memenuhi peranannya. Kami mengubah kedudukannya dalam perlawanan ini.

"Dia kemudian dapat menyerang ruang kosong dengan lebih baik. Dia kurang menyengat pada masa ini tetapi dia mempunyai bahagian dalam kejayaan ini. Dia bekerja keras untuk pasukan."




Berikutan Pochettino perlu menjalani kuarantin, Perez memastikan PSG meneruskan rentak kemenangan mereka sementara masih segar memenangi Trophee des Champions pada pertengahan ini.

Duo PSG, Marco Verratti dan Leandro Paredes, saling bertukar 72 hantaran ke atas Angers, jumlah tertinggi untuk mana-mana gandingan dalam Ligue 1 musim ini.