Nemanja Matic menegaskan sudah tamat masa untuk bercakap tentang perkara dalam bilik persalinan Manchester United dan dia menggesa ketua dalam The Red Devils untuk membuktikan kemampuan ketika berdepan Valencia.

United yang dibimbing Jose Mourinho itu akan mengharungi aksi kedua Kumpulan H, Liga Juara-Juara Eropah setelah gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir dan hanya menang empat daripada sembilan aksi dalam semua kejohanan musim ini.

Situasi itu membuatkan Mourinho berada dalam tekanan tetapi apabila ditanya mengenai suara-suara yang mampu memberikan kesan dalam bilik persalinan, Matic memberitahu barisan wartawan bahawa United memerlukan ketua sebenar di atas padang.

"Saya tidak rasa anda boleh menyelesaikan perkara hanya melalui percakapan," kata Matic.

"Ketua perlu tampil di atas padang. Ia adalah pemain yang tidak takut untuk beraksi. Kami akan melihatnya esok dan perlawanan seterusnya mengenai ketua yang sebenar.

"Jika anda bercakap di dalam bilik persalinan, ia tidak memberi apa-apa makna. Apa yang penting adalah persembahan di atas padang," katanya.

Kekalahan 3-1 di tangan West Ham, Sabtu lalu, merupakan aksi ketiga United berputih mata dalam saingan liga musim ini dan mereka kini menduduki tangga ke-10 selepas tujuh perlawanan.

Keputusan buruk berdepan Valencia mungkin akan lebih membuatkan kedudukan Mourinho tergugat tetapi Matic menegaskan situasi itu tidak mengganggu dia dan rakan sepasukannya.

"Tekanan sentiasa ada. Saya mengharunginya sepanjang hidup dan begitu juga dengan rakan sepasukan yang lain.

"Kami tidak takut untuk beraksi. Kami bermain bola sepak tetapi semua cuba untuk menang, terutama berdepan Manchester United.

"Kami sedar tentangnya dan berharap dapat bersedia untuk itu. Kami tidak bersedia dalam beberapa aksi terakhir, jadi kami harus mempersiapkan diri," katanya lagi.