Adakah Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sepatutnya mengambil keputusan membatalkan pertemuan di antara Borussia Dortmund dan AS Monaco selepas bas dinaiki mereka diserang?

Menurut Pengarah, Pusat Keselamatan Sukan Antarabangsa, Helmut Spahn, sama-sekali tidak.

"Jika perlawanan itu dibatalkan, secara tidak langsung kita menurut apa yang dimahukan penjenayah ini," ujar Spahn menerusi ESPN.com.

Tetapi dia bingkas menambah:"Jika berlaku sebarang kematian, sudah tentu perlawanan itu tidak akan diteruskan."

Pejabat Peguam Negara Jerman telah melancarkan siasatan selepas bas Dortmund menjadi sasaran tiga letupan ketika dalam perjalanan ke Signal Iduna Park bagi aksi Selasa lalu.

Pertahanan, Marc Bartra, mengalami kecederaan, namun tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Monaco menewaskan Dortmund 3-2 dalam aksi yang dijadualkan semula keesokannya.

Pengendali BVB, Thomas Tuchel, berang dengan keputusan UEFA untuk meneruskan perlawanan tersebut dan berkata anak buahnya berasa 'tidak bersemangat' untuk meneruskan perlawanan.

Pemain pertahanan, Sokratis Papastathopoulos, turut kecewa dengan keputusan itu dan berasakan dirinya dilayan seperti haiwan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Thomas De Maiziere, bersetuju dengan kenyataan Spahn.

Seorang suspek yang berkait dengan ISIS telah pun ditahan polis Jerman tetapi menurut Pejabat Pendakwaraya semalam, masih tiada sebarang bukti untuk mengaitkan suspek dengan kejadian tersebut.