Koji Gyotoku memenuhi janjinya malam tadi apabila membawa Nepal untuk menjulang kejuaraan sulung Piala Solidariti AFC 2016 di Kuching, Sarawak.

Pasukan dari Himalaya itu menang menerusi jaringan Sujal Shreshtha, yang menanduk masuk hantaran lintang Bharat Khawas pada minit ke-29.

Bermain di atas padang yang sedikit basah di Stadium Sarawak, anak-anak buah Koji sewajarnya menang lebih selesa setelah menguasai perlawanan sejak awal permainan.

Bagaimanapun sentuhan penyudah yang lemah menyebabkan mereka gagal menambah jaringan.

“ Saya tidak berpuas hati dengan permainan malam. Anak-anak buah saya seharusnya lebih bijak menggunakan peluang yang terhidang.

“ Mereka seharusnya menang lebih besar dan bukannya hanya 1-0, “ katanya.

Jelasnya, bagaimanapun beliau berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan oleh barisan pertahanan, yang termasuk penjaga gol, Kiran Kumar Limbu, yang mengecewakannya pada perlawanan separuh akhir lalu.

Kemenangan ini katanya, amat besar ertinya kepada pasukan tersebut, kerana Nepal tidak mengharungi banyak perlawanan kompetetif di peringkat antarabangsa.

“ Tetapi perlawanan pada kejohanan kali ini amat berbaloi kerana kami bertemu sebanyak empat pasukan sekali gus.”

Macau cuba bangkit terutama pada separuh masa kedua, namun anak-anak buah Tam Iao San bagai tidak bermaya.

Malah kelibat Nicholas Mario Tarrao juga gagal menyerlah, lantaran strategi pertahanan Nepal yang ditangani oleh Ananta Tamang dan kapten, Biraj Maharjan dengan baik.

Bagi Ketua Jurulatih Macau, Tam Iao San, Nepal layak menang kerana mereka memiliki kelebihan dari semua segi termasuk kemahiran, kepantasan dan kerjasama yang baik.

“ Kami bersyukur kerana telah mencapai sasaran ke perlawanan akhir, dan gembira berpengalaman bertemu pasukan yang ternyata memiliki kemampuan yang lebih jauh.

Katanya, para pemainnya telah menunjukkan persembahan yang membanggakan.

“ Mereka bermain dengan jiwa yang besar, biarpun ada antara pemain yang gugup kerana tidak pernah ke pentas akhir kejohanan antarabangsa.

“ Yang penting, ia pencapaian yang terbaik bagi pasukan yang masih amatur, yang bermain bola hanya dilakukan selama dua hari seminggu, dan bukannya setiap hari seperti negara-negara yang menjadikan bola sepak kerjaya profesional,” jelasnya lagi.

Macau muncul naib johan kejohanan ini, manakala Laos di tempat ketiga setelah menumpaskan Brunei Darussalam 2-1 malam semalam.

Manakala penyerang Macau, Leong Ka Hang dinamakan pemain terbaik kejohanan.