MARIBOR 1 SEVILLA 1

Ernesto Marcucci mengetepikan prestasi hambar Sevilla untuk mencatat keputusan seri 1-1 di Maribor, awal pagi tadi, menerusi tindakan tepat yang diperlukan untuk menjamin kemaraan dalam Liga Juara-Juara (UCL).


Kelab Sepanyol itu hanya memerlukan satu mata untuk menjamin tempat dalam pusingan 16, namun mendapati ketinggalan selepas hanya 10 minit hasil sentuhan Marcos Tavares.

Tambahan pula, kemenangan besar 7-0 Liverpool ke atas Spartak Moscow mencerahkan lagi peluang kemaraan mereka.

Kesilapan penjaga gol dihukum oleh Ganso untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua dan Marcucci -- yang menggalas tanggungjawab sebagai pengurus untuk menggantikan Eduardo Berizzo yang meneruskan pemulihan kansernya -- tidak terlalu gusar dengan kegagalan untuk menang.

"Tugas selesai," kata Marcucci kepada wartawan. "Satu-satunya perkara penting adalah untuk melayakkan diri. Kemudian kami akan menganalisis dengan minda yang tenang mengenai apa yang berlaku dalam 10 minit pertama.

"Saya gembira dengan kemaraan ini, kami perlu menganalisis apa yang berlaku pada separuh masa pertama.

"Saya tidak memikirkan perkara buruk, kami tidak menghasilkan permainan cemerlang tetapi segala-galanya di bawah kawalan kami, kami berpuas hati akan bermain (dalam peringkat kalah mati UCL) pada Februari nanti.

"Kami kini berada di mana kami mahu berada dan kami mahu menikmati detik ini dan bermimpi. Hasil luar biasa di peringkat kumpulan adalah bukti bagaimana persaingan ini tidak dapat diramalkan dan sukar," katanya lagi.