Jurulatih skuad negara, Nelo Vingada, memberi bayangan bakal melakukan rombakan kecil terhadap barisan pemainnya susulan penangguhan perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Skuad negara pada asalnya dijadual bertemu Korea Utara di Pyongyang, 5 Oktober depan, dan Hong Kong, juga di laman lawan pada 10 Oktober.

Namun, pertemuan dengan Korea Utara sekali lagi terpaksa ditunda -- buat kali ketiga -- susulan ketegangan memuncak di negara itu.

Sehubungan itu, skuad Harimau Malaysia mempunyai tempoh persiapan yang lebih lama untuk berdepan Hong Kong, lalu tampak berkesempatan untuk melakukan pertukaran atau penambahan pemain daripada senarai asal 24 pemain.

"Ini bermakna situasi ini memberi kesan lebih baik buat kami. Kami boleh memanggil beberapa pemain lagi yang difikirkan layak," kata jurulatih berasal dari Portugal itu.

Apapun, Vingada mengakui ketiadaan tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, amat dirasai.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu digantung empat perlawanan selepas didapati bersalah melakukan kekasaran terhadap pengadil ketika menentang Hong Kong di Melaka, 5 September lalu.

Skuad negara akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya Rabu depan dan akan terbang ke Hong Kong dua hari kemudian.